TicWatch Pro 3 Ultra GPS Kini Di Malaysia Pada Harga RM1,399

Diterbitkan pada Nov 30, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jam terkini Mobvoi iaitu TicWatch Pro 3 Ultra GPS yang dilancarkan pada Oktober lalu kini dijual di Malaysia secara rasmi. Jam ini tidak ada banyak beza pun dengan TicWatch Pro 3 GPS yang pernah kami ulas sebelum ini. Versi Ultra ini adalah lebih tahan lasak kerana dibina dengan besi tahan karat dan nilon gentian kaca yang mempunyai ketahanan lebih lasak melepasi gred tentera MIL-STD-810G.

Kebanyakan sensor semuanya masih sama dengan model sebelum ini kecuali dengan tambahan sokongan kompas yang lebih jitu.

Skrin masih 1.4-inci AMOLED yang dipadankan dengan skrin kedua FSTN Dual Display 2.0 yang warna backlight boleh diubah. Ia turut dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Anti-Fingerprint. Jam ini masih dijana dengan cip Snapdragon Wear 4100 yang dipadankan dengan cip dwi-teras Mobvoi tersendiri untuk sokongan AOD dan dwi-skrin.

Mobvoi turut hadir dengan sistem IHB iaitu membaca degupan jantung yang tidak sekata sebagaimana pemfibrilan atrium (AFib) berfungsi. Sistem membaca keragaman degupan jantung (HRV) untuk memantau kesihatan mental dan tenaga pengguna turut ditawarkan bersama sokongan pemantauan tidur TicSleep, fungsi TicZen, imbasan nadi 24 jam, 20 mod sukan dengan kemampuan di bawa berenang dan memantau aktiviti HIIT yang dikekalkan.

Sistem penjejakan lokasi pula terdiri daripada GPS, GLONASS, Galileo, QZSS dan Beidou. Ia menjalankan Wear OS 2 dengan janji menerima Wear OS 3 pada tahun hadapan. Bateri adalah 577mAh dengan ketahanan sehingga 72 jam untuk mod jam pintar atau 45 hari untuk mod jam menggunakan skrin FSTN.

Harga jualan jam ini di Malaysia adalah RM1399. Ia dijual di laman e-dagang rasmi Lazada Mobvoi TicWatch Malaysia. Laman ini turut menjual TicWatch GTH pada harga diskaun iaitu RM229, TicWatch E3, dan turut masih menjual TicWatch Pro 3 GPS pada harga lebih murah iaitu kini pada RM1,199.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami