Carian
AWS Private 5G – Hasilkan Rangkaian Peribadi 5G Anda Tersendiri
December 1, 2021 Ikhwan Nazri

Acara AWS re:Invent kembali lagi pada tahun ini dimana perkhidmatan Amazon Web Services akan berkongsi mengenai kemaskini penawaran perkhidmatan mereka yang banyak menjadi tunjang dunia internet seharian. 

Mengambil pentas utama, CEO baru mereka iaitu Adam Selipsky yang menggantikan Andy Jassy yang kini menjadi CEO Amazon. Adam Selipsky mengumumkan salah satu projek terbaru mereka iaitu AWS Private 5G.

Menerusi AWS Private 5G, pengguna AWS boleh mewujudkan rangkaian peribadi 5G mereka yang tersendiri dengan arahan pada AWS Console. Walaubagaimanapun, pengguna harus menggunakan perkakasan, perisian, dan juga kad SIM yang disediakan dari AWS. 

Malah, memandangkan ia menggunakan kawalan AWS Console, tetapannya boleh dilakukan dengan mudah termasuklah penetapan secara automatik, dan tiada caj akan dikenakan untuk peranti berlainan. Bagi mengatasi masalah spektrum yang biasanya dikawalselia oleh pihak berkuasa tempatan, mereka berkongsi spektrum dengan penyedia yang lain.

Namun harus ditekankan disini adalah perkhidmatan ini buat masa ini dalam peringkat percubaan, dan berkemungkinan hanya tersedia untuk pelanggan bertaraf perusahaan. Ia merupakan satu penyelesaian yang baik bagi syarikat terutamanya untuk mempunyai rangkaian 5G yang tersendiri, memudahkan kerja dan perkongsian bermacam maklumat dapat dilakukan dengan pantas, berkat kelajuan 5G itu tersendiri dan juga peranti yang menyokongnya. 

Komen