FIFA Menguji Sistem Mengesan Ofsaid Tanpa Campur Tangan Manusia

Diterbitkan pada Dis 1, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Undang-undang ofsaid adalah agak mengelirukan bagi mereka yang tidak begitu mengikuti sukan bola sepak. Malahan yang memahaminya juga boleh bingung dengan keputusan ofsaid dalam perlawanan sering menjadi bualan lebih-lebih lagi jika keputusan tidak berpihak kepada pasukan yang disokong. Di FIFA Arab Cup 2021 yang akan berlangsung kelak, sistem mengesan ofsaid secara automatik akan diuji.

Sistem terdiri daripada 10-12 kamera yang diletakkan pada bumbung stadium. Kamera akan merakam pergerakan pemain dan juga anggota tubuh secara masa nyata. Data dari 29 titik pada tubuh pemain akan dijejak sebanyak 50 kali sesaat. Dengan sistem ini apabila pemain dikesan ofsaid, pengadil akan diberitahu. Malahan sekiranya keputusan ingin disemak, video akan dihantar kepada sistem paparan VAR yang sudahpun digunakan sekarang.

Penggunaan sistem penjejakan ofsaid secara automatik ialah satu lagi usaha FIFA untuk mengintegrasikan teknologi bagi membantu pengadil di atas padang. Ujian akan dilakukan sepanjang FIFA Arab Cup 2021 yang merupakan medan ujian kesediaan Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022. Sekiranya semua berjalan lancar, teknologi pengesanan ofsaid automatik ini mungkin digunakan pada temasya bola sepak terbesar dunia kelak.

Sumber FIFA

komen


© Amanz / 2022 Kami