Sharp Memperkenalkan Siri Komputer Dynabook Untuk Kegunaan Syarikat Dan Persendirian

Diterbitkan pada Dis 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Anda boleh dipanggil tua sekiranya anda ingat bahawa satu ketika dahulu, Toshiba pernah menjual komputer riba di Malaysia. Perniagaan tersebut, yang hadir dengan nama-nama model seperti Satellite Pro, Portege dan Tecra semuanya telah dijual kepada sebuah lagi syarikat teknologi Jepun, iaitu Sharp, dan kini dikenali dibawah siri Dynabook.

Sharp Malaysia hari ini mengesahkan bahawa siri komputer riba Dynabook ini sudahpun memasuki pasaran tempatan melalui program jualan B2B mereka. Komputer riba dibawah program jualan ini termasuklah Dynabook Satellite Pro, Dynabook Tecra dan juga Dynabook Portege.

Dengan Dynabook Tecra A40G, komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD, dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-10, dimuatkan dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan dalaman SSD dengan pilihan storan 256GB, 512GB ataupun 1TB.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada plastik, tetapi hadir dengan pengesahan MIL-STD-810G yang membuatkannya sebuah komputer riba yang teguh dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis lokasi dimana pengguna tidak perlu risau mengenai hentakan kecil pada rangka komputer riba tersebut.

Dari segi spesifikasi, ia dimuatkan dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-10, memori DDR4 sebanyak 8GB dan mempunyai pilihan storan SSD NVMe sehingga 1TB bergantung kepada apa yang pengguna perlukan.

Dengan ketebalan 19.9mm dan berat 1.47kg, komputer riba ini juga cukup padat dan ringan untuk dibawa kemana-mana tanpa begitu banyak masalah.

Model kedua ialah Dynabook Portege X30L iaitu komputer riba kelas produktiviti bisnes padat dan ringan yang hadir dengan paparan skrin bersaiz 13.3 inci dengan resolusi Full HD. Rangka komputer riba ini diperbuat daripada logam magnesium yang memberikan komputer riba ini berat kurang daripada 1kg, malah, bergantung kepada spesifikasi ia hadir dengan berat 870g sahaja.

Dari segi komponen dalaman, ia dilengkapi siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, memori DDR4 sebanyak 8GB dan pilihan storan SSD NVMe sehingga 1TB sekiranya diperlukan. Dari segi bateri, komputer riba ini dilengkapi dengan bateri bersaiz 42Wh dan Sharp mengatakan bahawa komputer riba ini hadir dengan jangkahayat bateri yang sangat panjang, lebih daripada 10 jam dengan satu pengecasan penuh.

Jika kedua-dua komputer riba diatas adalah untuk kegunaan pejabat semata-mata, Dynabook Satellite Pro ialah komputer riba untuk pengguna biasa yang akan diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi. Ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD, dan mempunyai rangka dengan ketebalan 18.9mm dan berat 1.49kg sahaja.

Dari segi spesifikasi, Sharp Malaysia mengatakan bahawa apabila model ini ditawarkan di pasaran tempatan kelak, ia akan ditawarkan dengan penawaran CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga pilihan storan sehingga 512GB.

Walaupun ia sebuah komputer riba yang nipis dan ringan, ia dimuatkan dengan pelbagai palam input dan output seperti USB 3.0, USB 3.1 Type-C, palam HDMI, pembaca kad microSD dan juga sebuah palam RJ-45 untuk sambungan internet berkabel.

Sharp Malaysia mengatakan bahawa model-model Tecra dan Portege sudahpun ditawarkan di Malaysia dibawah program jualan B2B mereka, dan syarikat-syarikat yang berminat untuk mendapatkan komputer riba ini boleh terus berurusan dengan mereka untuk mendapatkan spesifikasi khusus yang diperlukan.

Untuk model Dynabook Satellite Pro pula, Sharp Malaysia mengatakan bahawa model yang dikemaskini dengan cip Intel generasi ke-11 akan ditawarkan di pasaran tempatan sekitar bulan ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami