Cari @ Amanz

Honor 60 dan Honor 60 Pro dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai model kemas kini kepada Honor 50 yang dilancarkan pada Jun lalu. Bagi mereka yang mahukan sebuah peranti mercu, Honor 60 pasti mengecewakan kerana ia sekadar dilengkapi cip kelas pertengahan baharu Snapdragon 778G+ yang meningkatkan kelajuan teras utama ke 2.5 GHz daripada 2.4GHz serta GPU yang kini 20% lebih berkuasa.

Dari segi spesifikasi, Honor 60 Pro dilengkapi skrin 6.78″ OLED 120Hz melengkung, dijana cip Snapdragon 778G+, memori sehingga 12GB, storan 256GB, dan bateri sebesar 4800 mAH dengan pengecasan pantas 66W. Kamera utama menggabungkan sensor 108+50+2 MP dengan kamera swafoto pula sebesar 50MP. Video 4K 30FPS boleh dirakam menggunakan kamera utama dan hadapan. Perubahan paling ketara berbanding Honor 50 Pro ialah kamera ultra sudut lebar kini meningkat ke 50 MP berbanding hanya 8MP pada Honor 50 Pro.

Honor 60 pula dilengkapi skrin 6.67″ OLED 120Hz melengkung, dijana cip Snapdragon 778G, memori sehingga 12GB, storan sehingga 256GB, dan bateri sebesar 4800 mAH dengan pengecasan pantas 66W. Kamera utama menggabungkan sensor 108+8+2 MP dengan kamera swafoto pula sebesar 32MP. Honor 60 dilengkapi skrin lebih besar tetapi kehilangan sensor kedalaman pada kamera utama berbanding Honor 50.

Kedua-dua peranti masih menggunakan sistem operasi Android 11 dengan Magic UI 5, tiada slot untuk kad mikro SD dan tiada bicu audio. Sokongan audio stereo pula hanya diberikan pada Honor 60 Pro sahaja. Di China harga jualan Honor 60 Pro bermula dari RMB 3700 (~RM2441) manakala Honor 60 bermula dari RMB 2700 (~RM1781) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd