ASUS ProArt Studiobook 16 OLED Ialah Komputer Riba Produktiviti Kreatif Dengan Spesifikasi Gaming Premium

Diterbitkan pada Dis 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jenama ASUS ProArt dikenali ramai sebagai jenama peranti dan aksesori komputer yang secara lazimnya dipilih oleh golongan kreatif profesional yang memerlukan sebuah peranti yang membolehkan mereka untuk menjalankan tugasan produktiviti harian seperti suntingan video beresolusi tinggi, mengolah tugasan animasi 2D dan 3D dan mungkin juga rekaan industri yang memerlukan kuasa CPU dan GPU yang hebat.

ASUS ProArt Studiobook 16 OLED menggabungkan rekaan premium dan minimalis siri ProArt dan menggabungkannya dengan prestasi berkuasa yang lazimnya diperlihatkan dalam siri komputer riba gaming mereka.

Seperti yang diperlihatkan pada nama modelnya, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 4K yang juga mempunyai nisbah paparan 16:10 yang lebih cenderung kepada peningkatan produktiviti pengguna. Bukan itu sahaja, paparan ini hadir dengan nilai kecerahan setinggi 550 nit dan mampu memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan mempunyai kejituan warna Delta < 2.

Dari segi spesifikasi dalaman, komputer riba ini dikuasakan oleh dua pilihan CPU, iaitu Intel Core i7-11800H dan juga AMD Ryzen 9 5900HX. Ia juga dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 32GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 1TB.

Dari segi penawaran kad grafik pula, komputer riba ini dimuatkan dengan pilihan NVIDIA GeForce RTX 3070 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3060 yang cukup berkuasa untuk digunakan sebagai mesin menyunting dan mengolah video, ataupun untuk mengolah model 2D dan 3D. Satu perbezaan dengan komputer riba yang lain ialah kad grafik ini hadir dengan sokongan perisian NVIDIA Studio yang memastikan komputer riba ini boleh digunakan dengan pelbagai perisian produktiviti kreatif di pasaran sekarang.

Selain daripada penawaran seperti WiFi6, Thunderbolt 4 untuk model CPU Intel dan sebagainya, satu fungsi unik yang hadir pada komputer riba ASUS ProArt Studiobook 16 OLED ini ialah ia hadir dengan pengawal beroda yang boleh digunakan untuk mengawal suhu warna dan boleh digunakan dalam pelbagai aspek suntingan sebuah video dengan cepat dan mudah.

ASUS ProArt Studiobook 16 OLED kini hadir di pasaran tempatan dan boleh didapati dalam tiga model berbeza dengan konfigurasi dan harga berikut:

  • ASUS ProArt Studiobook 16 OLED (Intel Core i7, RTX 3070) – RM11,999
  • ASUS ProArt Studiobook 16 OLED (Intel Core i7, RTX 3060) – RM9999
  • ASUS ProArt Studiobook 16 OLED (AMD Ryzen 9, RTX 3060) – RM9999

komen


© Amanz / 2022 Kami