Lebih Banyak Peranti Samsung Galaxy A Dengan Kemampuan Kalis Air Dijangka Tiba Tahun Hadapan

Diterbitkan pada Dis 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebagaimana yang kita semua sedia lihat, peranti bajet masa kini kebanyakannya telah dilengkapi beberapa ciri seumpama peranti kelas mercu. Misalnya seperti skrin dengan kadar segar semula yang tinggi, kamera dengan sensor yang besar dan sebagainya.

Tidak ketinggalan, sokongan piawaian kalis air juga adalah antara salah satu ciri tambahan yang boleh dikategorikan sebagai menarik. Tambahan pula, cuaca sekarang tidak menentu, kadang-kadang hujan, kadang-kadang panas, menjadikan ciri berkenaan penting untuk pelindungan peranti yang menyeluruh.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Samsung dikhabarkan bakal menawarkan ciri tersebut untuk lebih banyak peranti di bawah siri Galaxy mereka menjelang tahun hadapan. Antaranya seperti Samsung Galaxy A73 dan Galaxy A53 yang mungkin dilengkapi ketahanan IP67 seperti pendahulunya.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A33 juga adalah satu lagi model yang dikhabarkan bakal menerima naik-taraf ini, sekaligus besar kemungkinan menjadi peranti dengan kemampuan kalis air yang termurah daripada Samsung apabila ia dilancarkan secara rasmi pada tahun 2022 kelak.

Sumber menjangkakan, ia mungkin ditawarkan dengan harga jualan yang tidak jauh dengan Samsung Galaxy A32 sebelum ini. Apa pun, sama ada benar atau tidak, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkaitan perkara ini.

Sumber : Android Authority

komen


© Amanz / 2022 Kami