Pantau Pelbagai IoT Didalam Bangunan Pintar Dengan AWS IoT TwinMaker

Diterbitkan pada Dis 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda pernah menonton filem Apollo 13, anda pastinya ingat babak dimana saintis di bumi perlu membina penapis karbon dioksida, dengan barangan yang ada pada angkasawan di orbit. Kemudian rekaan tersebut dikongsikan kepada angkasawan membolehkan mereka menyelesaikan masalah kekurangan oksigen. Justeru terdapat ‘kembar’ dari segi peralatan yang dibina, dan dapat menyelesaikan masalah walau berjauhan.

Didalam perindustrian dan infrastruktur, Digital Twins adalah kembar atau miniatur kepada kemudahan yang besar, seperti kilang, kompleks bangunan yang besar, universiti dan bermacam lagi. Infrastruktur sebegini biasanya mempunyai papan kawalan untuk pelbagai kelengkapan, baik dari segi penggera keselamatan, kamera litar tertutup, bacaan suhu, kawalan elektrik, dan bermacam lagi. 

Dengan adaptasi IoT yang semakin meluas, justeru bagi memudahkan pembinaan ‘papan kawalan digital’, AWS memperkenalkan AWS IoT TwinMaker yang memudahkan anda membangunkan sistem pemantauan ini secara maya dan ‘berkembar’. Misalnya sekiranya terdapat dua peranti menyokong IoT di pejabat peribadi anda iaiitu mesin kopi dan kamera, anda juga boleh menghubungkan data dari kedua-dua peranti tersebut.

Malah sekiranya anda mempunyai lakaran 3D terhadap infrastruktur anda, lukisan 3D/CAD tersebut juga boleh dimuatkan, dan anda boleh menambah aset maya yang merupakan kembar kepada aset yang sedia ada, bagi melakukan simulasi dunia sebenar. Seterusnya data-data ini akan menggunakan API yang terdapat pada AWS IoT TwinMaker, bagi memaparkan data yang diambil. 

Data-data yang dapat dikumpulkan ini bukan sahaja dapat membantu pemantauan jarak jauh, bahkan boleh digunakan bagi meramalkan kerosakan yang mungkin terjadi, atau mengoptimasikan operasi seharian tanpa perlu memakan kos yang besar. 

AWS IoT TwinMaker ini boleh dicuba bermula hari ini malah terdapat beberapa industri besar, seperti peralatan bangunan Carrier yang telahpun melakukan pemantauan bangunan pintar menerusi IoT TwinMaker.

komen


© Amanz / 2022 Kami