Carian
Tentera Udara A.S Ingin Menaiktaraf Sistem Tandas Untuk Pesawat Pejuang
December 6, 2021 Effi Saharudin

Sejak pesawat pejuang mula digunakan dalam Perang Dunia Pertama, isu juruterbang sukar membuang air kecil serta besar sudah wujud. Pelbagai penyelesaian telah digunakan seperti menggunakan lampin dewasa dan juga botol. Masalah ini menjadi semakin kompleks dengan wanita turut diambil menjadi juruterbang pesawat tempur.

Bagi memastikan keselesaan krew ketika melakukan misi panjang, Tentera Udara Amerika Syarikat memulakan program untuk menambahbaik sistem Omni Generation 3 Skydrate yang digunakan sekarang. Sistem kini dipakai oleh juruterbang di dalam sut yang digunakan sekarang.

Omni Generation 3 Skydrate

Juruterbang wanita melaporkan isu seperti kebocoran dan ketidakselesaan selepas beberapa jam melakukan misi. Antara penambahbaikan yang akan dilakukan ialah bahagian pad yang lebih besar, kadar aliran lebih tinggi, tempat penampung kumuh lebih besar dan kemudahan menggunakan sistem dengan sebelah tangan.

Keselesaan juruterbang pesawat tempur adalah penting kerana isu seperti ternyahhidrat kerana tidak mahu minum, pening kepala kerana tidak mahu membuang air kecil dan ketahanan melawan daya G jika menahan dari membuang air kecil mengurangkan prestasi mereka.

Komen