Samsung Dilihat Akan Menggabungkan Bahagian Peranti Dan Perkakasan Pengguna – Dua CEO Baru Dilantik

Diterbitkan pada Dis 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung ialah syarikat teknologi gergasi yang bukan sahaja terbesar di Korea, malah diantara yang terbesar di seluruh dunia dimana mereka bukan sahaja membuat peranti pintar, tetapi juga pelbagai jenis kelengkapan elektronik yang lain, dan juga komponen-komponen yang menguasakan pelbagai jenis peranti yang digunakan oleh jenama-jenama lain juga.

Terkini, syarikat tersebut dilaporkan akan menggabungkan bahagian peranti dan juga perkakasan pengguna mereka dalam satu bahagian untuk mempercepatkan proses membuat keputusan mengenai produk-produk syarikat tersebut.

Perkara ini juga dilihat berlaku kerana Timbalan Pengerusi Samsung Electronics sebelum ini, iaitu Jay Y. Lee telah disabit kesalahan menerima wang rasuah. Dengan gabungan ini, Samsung Electronics, dua orang Ketua Pegawai Eksekutif akan dilantik untuk mengurus syarikat tersebut.

Han Jong-hee, yang merupakan CEO untuk bahagian televisyen Samsung telah dilantik menjadi timbalan pengerusi dan juga CEO Samsung Electronics dan akan mengetuai bahagian peranti mudah-alih dan peranti elektronik Samsung. Dia juga akan terus mengetuai bahagian televisyen syarikat tersebut.

Kyung Kye-hyun, CEO untuk Samsung Electro-Mechanics juga dinamakan CEO untuk Samsung Electronics, dan akan mengetuai bahagian komponen dan cip syarikat tersebut.

Keputusan yang dibuat oleh Samsung untuk melantik dua CEO baru untuk Samsung Electronics ini dijangka akan membolehkan mereka untuk bukan sahaja bersaing dengan jenama-jenama lain, tetapi juga dengan syarikat-syarikat seperti TSMC dan Intel yang sedang mengembangkan syarikat mereka untuk memenuhi permintaan cip pemprosesan dan DRAM yang diperlukan semua sektor sekarang ini.

Sumber: Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami