AMD Akan Memperkenalkan Desktop Kit 4800S – Kit Komponen Desktop Untuk Komputer Kecil

Diterbitkan pada Dis 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

AMD dilihat akan memperkenalkan kit komputer kedua mereka yang dinamakan AMD Desktop Kit 4800S yang mengandungi papan induk, cip pemprosesan AMD Zen 2 yang terbina, memori DDR4 dan juga sokongan untuk kad-kad grafik baru melalui slot PCIe 4.0 yang masih lagi digunakan secara meluas.

Ini bukanlah kali pertama AMD melancarkan kit komponen sebegini, dimana sebelum ini mereka melancarkan Desktop Kit 4700S yang menggunakan SoC Ariel yang diperlihatkan dalam konsol Sony PlayStation 5. Perbezaan diantara kit 4700S dan 4800S ialah kemaskini sokongan PCIe 4.0 dimana sebelum ini ia hanya hadir dengan sokongan untuk PCIe Gen 2, dan juga penambahan slot M.2 yang mana pengguna boleh gunakan untuk storan kit komputer ini.

Dari aspek memori, laporan VideoCardz turut mengatakan bahawa kit komputer ini hadir dengan pilihan memori DDR4 8GB ataupun 16GB terbina, dan untuk model Desktop Kit 4800S ini, ia hadir juga dengan sokongan untuk penyejuk CPU AM4 yang mana pengguna boleh memilih untuk menggunakan penyejuk udara ataupun cecair.

AMD dijangka akan melancarkan Desktop Kit 4800S ini pada pertengahan tahun 2022 kelak, pada harga yang akan diumumkan. Kit ini akan dibangunkan oleh MSI, dan akan ditawarkan bersama-sama kad grafik AMD Radeon RX 6600 keluaran PowerColor.

Sumber: VideoCardz

komen


© Amanz / 2022 Kami