China ialah pasaran yang penting bagi Apple kerana jumlah pengguna yang tinggi dan juga menjadi pusat pengilangan utama produk mereka. Menurut laporan The Information hari ini, Tim Cook secara rahsia melakukan perjanjian dengan China bagi pihak Apple untuk memastikan syarikat mendapat bantuan kerajaan untuk terus kekal kompetitif pada tahun 2016.
Apple dipercayai telah melaburkan $275 bilion (~RM 1.16 trilion) dalam tempoh 5 tahun ke China. Dalam memorandum persefahaman sepanjang 1250 patah perkataan, Apple berjanji meningkatkan kemampuan ekonomi dan teknologi China sebagai ganti pengecualian dari beberapa peraturan kerajaan.
Apple kemudiannya meningkatkan penggunaan lebih banyak komponen daripada pembekal China, menandatangani perjanjian dengan firma perisian di negara itu, membuat pelaburan langsung dalam syarikat teknologi China, menjalankan penyelidikan dengan universiti yang berpangkalan di China, melatih pekerja teknologi dan menyokong inisiatif milik kerajaan China.
Ini pastinya menjadi sebab utama mengapa Apple menurut perintah kerajaan untuk membuang aplikasi VPN, aplikasi pemetaan yang digunakan ketika protes di Hong Kong dan memindahkan data pengguna iCloud China ke pelayan dalam negara.
Apple telah lama dikritik kerana tindakan mereka ini sedangkan di luar China mereka kerap menjadi pejuang privasi data peribadi, menentang sebarang bentuk kezaliman dan enggan menurut arahan FBI bagi membantu siasatan pengganas.