Lenovo Hadir Dengan Kemaskini Komponen Untuk Siri Komputer Riba Yoga Slim 7 Carbon Dan Yoga Slim 7 Pro

Diterbitkan pada Dis 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Lenovo ialah jenama komputer yang cukup terkenal untuk penawaran komputer riba produktiviti mereka yang bukan sahaja dibangunkan dengan bahan-bahan premium, tetapi komponen dalaman yang akan membantu dalam membolehkan anda menjalankan tugasan-tugasan pejabat harian tanpa masalah.

Terkini, Lenovo Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan membawa masuk dua model Lenovo Yoga Slim 7 yang dikemaskini, termasuklah Lenovo Yoga Slim 7 Carbon dan juga Lenovo Slim 7 Pro. Komputer-komputer riba ini akan dikuasakan oleh siri CPU AMD Ryzen 5000U terbaru dan dikemaskini dengan kad grafik keluaran NVIDIA juga.

Bermula dengan Lenovo Yoga Slim 7 Carbon, ia hadir dengan paparan OLED bersaiz 14.0 inci dengan resolusi QHD+ dan hadir dengan sokongan untuk Dolby Atmos. Ia akan dikuasakan dengan CPU AMD Ryzen 5800U dan hadir dengan pilihan kad grafik keluaran AMD Radeon ataupun NVIDIA GeForce MX450.

Dengan berat 1.1kg sahaja, Lenovo Yoga Slim 7 Carbon boleh dikatakan diantara komputer riba paling padat dan ringan keluaran Lenovo, dan padat dengan ciri-ciri tambahan seperti WiFi6 dan kecerdasan buatan yang menggunakan cip Lenovo AI. Cip ini membantu dalam membolehkan komputer riba ini menukar tahap kecerahan skrin bergantung kepada tahap pencahayaan persekitaran, imbasan wajah dan sebagainya.

Ia juga dilengkapi dengan bateri 60Wh yang memberi komputer riba ini jangkahayat satu pengecasan penuh selama 14 jam, dan sistem pengecasan pantas Rapid Charge Boost juga membolehkan komputer riba ini untuk dicas dengan pantas.

Lenovo Yoga Slim 7 Pro pula adalah komputer riba yang cukup sesuai bagi mereka yang mahukan kemampuan pemprosesan yang lebih berkuasa dari biasa. Ia hadir dengan paparan OLED bersaiz 14 inci dan resolusi QHD+ sama dengan Lenovo Yoga Slim 7 Carbon, tetapi paparan ini juga hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 500nit dengan sokongan Display HDR400.

Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi CPU AMD Ryzen 5800H dan hadir dengan penawaran GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 3050.

Ia juga mempunyai mikrofon pembatalan hingar terbina supaya anda boleh menggunakan mikrofon ini tanpa perlu risau mengenai isu seperti bunyi latar belakang bising apabila anda berada dalam perjumpaan telesidang.

Ia juga dimuatkan dengan bateri 75Wh dan hadir dengan pengecasan Rapid Charge Boost untuk memastikan bahawa ia boleh dicas dengan pantas dan mudah.

Lenovo Malaysia mengatakan bahawa untuk komputer riba Lenovo Yoga Slim 7 Carbon baru, ia akan mula ditawarkan di pasaran tempatan pada penghujung bulan Disember, manakala Lenovo Yoga Slim 7 Pro sudahpun mula ditawarkan pada awal bulan ini.

Lenovo Yoga Slim 7 Carbon akan ditawarkan di Lenovo Malaysia Official Store pada harga permulaan RM5689, dan di Shopee dan Lazada pada harga RM5899.

Lenovo Yoga Slim 7 Pro pula ditawarkan di Lenovo Malaysia Official Store pada harga permulaan RM4519 dan RM4499 di Shopee dan Lazada untuk model tanpa paparan OLED, dan RM4699 untuk model dengan paparan OLED.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami