Cari @ Amanz

Beberapa minggu yang lalu, kami ada melaporkan bahawa Apple akan mengurangkan pengeluaran peranti mereka untuk suku keempat tahun ini kerana isu bekalan komponen yang membelenggu bukan sahaja mereka, tetapi juga kesemua industri yang memerlukan komponen elektronik untuk menyiapkan produk mereka.

Terkini, laporan Nikkei telah memperlihatkan butiran mengenai perkara ini, yang memaksa Apple untuk menghentikan pengeluaran tablet iPad mereka semata-mata untuk memastikan bahawa mereka mempunyai bekalan komponen yang mencukupi untuk siri peranti iPhone 13.

Laporan Nikkei Asia terbaru memperlihatkan butiran-butiran tentang mengapakah perkara ini berlaku, dan bergantung kepada samada anda mengikuti berita industri, ia mungkin akan atau tidak mengejutkan anda, kerana masalah yang membelenggu Apple, secara tidak mengejutkan ialah masalah sama yang membelenggu syarikat-syarikat lain.

Bekalan untuk komponen-komponen kecil seperti pengawal kuasa, papan litar, cip WLAN dan Bluetooth dan accelerometer yang tidak mencukupi ialah isu yang menjadi masalah terbesar untuk syarikat-syarikat teknologi seperti Apple. Dengan isu ini, walaupun mereka mempunyai komponen berprestasi tinggi yang mencukupi, jika mereka tidak boleh memuatkan komponen-komponen kecil ini dalam peranti mereka, ia akan menyebabkan mereka tidak boleh mengeluarkan peranti mereka.

Laporan tersebut turut memperlihatkan negara-negara pengeluar cip yang menyebabkan isu pengeluaran peranti ini, termasuklah China, Vietnam dan Malaysia yang mana industri semikonduktor mereka berhadapan dengan pelbagai ujian sepanjang tahun ini.

Di Malaysia, PKP yang berterusan dari awal tahun ke suku ketiga tahun ini dilihat menyebabkan banyak kilang semikonduktor terpaksa ditutup yang melambatkan pembuatan dan ujian terbengkalai dan ini secara langsung menyebabkan bekalan komponen tertunggak dan tidak boleh dipasarkan ke syarikat-syarikat yang memerlukannya.

Malaysia dilihat bertanggungjawab untuk menguji dan memasarkan komponen-komponen seperti litar bersepadu kuasa, kompas digital, cip frekuensi radio dan beberapa komponen kecil yang lain yang mana Apple bukan satu-satunya syarikat yang terkesan, tetapi juga jenama automotif seperti Ford dan lain-lain.

Vietnam dilihat menghadapi masalah PKP yang sama, manakala kilang-kilang di China dilihat terpaksa ditutup seketika untuk memastikan mereka mengikuti arahan penggunaan kuasa baru, khususnya dikala negara tersebut sedang dalam proses mengharamkan aktiviti perlombongan kriptowang yang banyak menelan tenaga.

Ia dilihat bahawa kilang-kilang semikonduktor di Malaysia telah mula beroperasi pada skala penuh sekitar bulan Oktober, tetapi ia dijangka bahawa bekalan cip ini hanya akan pulih seperti sediakala menjelang penghujung 2022 ataupun awal 2023 kelak.

Sumber: Nikkei Asia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd