Carian
PEKEMA Dilihat Mengimpot Sejumlah Model Kereta Elektrik Tesla Ke Pasaran Tempatan
December 9, 2021 Nazrin

Kenderaan elektrik Tesla boleh dikatakan jenama automotif yang paling terkenal hari ini, tetapi sayangnya tidak seperti jiran kita Singapura, Tesla tidak dijual di Malaysia secara rasmi`. Pengimpot kenderaan dilihat membawa masuk kenderaan ini pada harga premium yang jauh lebih mahal berbanding apa yang ditawarkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China dan secara lazimnya hanya dibeli oleh orang berada.

Terkini, Persatuan Pengimpot & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dilihat akan membawa masuk sejumlah pilihan model kenderaan Tesla ke pasaran Malaysia. Model-model yang akan ditawarkan oleh mereka termasuklah Tesla Model 3, Model S, Model X dan Model Y dari United Kingdom dan juga China.

Berdasarkan risalah PEKEMA yang diperlihatkan oleh laman automotif Paul Tan, Tesla Model 3 akan hadir dengan dua pilihan dari harga RM288,888 dan RM323,928. Model dengan harga lebih murah dikatakan diimpot dari Hong Kong, manakala model lebih mahal ialah dari United Kingdom. Perbezaan diantara kedua-dua model ini dilihat dari perisian yang ditawarkan, dimana sistem inforia kenderaan dari Hong Kong menggunakan sistem operasi keluaran China, yang tidak mempunyai aplikasi permainan dan juga pelayar web.

Tesla Model 3 Long Range turut ditawarkan dalam pilihan Single Motor dan Dual Motor dan bermula dari harga RM370,728. Untuk mereka yang mahukan penawaran lebih premium, PEKEMA turut akan membawa Tesla Model Y pada harga permulaan RM489,528, Tesla Model S pada harga permulaan RM712,656, Telsa Model S Plaid yang terbaru pada harga RM878,256 dan Tesla Model X pada harga RM950,328

Lebih menarik lagi, ia turut dilaporkan bahawa walaupun Tesla tidak dijual secara rasmi di Malaysia, waranti antarabangsa syarikat tersebut sah di sini, dimana enjin dan bateri kereta mereka akan hadir dengan waranti lapan tahun dan empat tahun untuk komponen-komponen dalaman lain.

Pihak PEKEMA turut dilaporkan mengatakan bahawa sudah terdapat 40 tempahan untuk kenderaan Tesla yang sudah dibuat, dan penghantaran pertama dijangka akan tiba di Malaysia pada bulan Januari 2022 kelak.

Ini mungkin bermakna bahawa kita akan melihat kenderaan-kenderaan Tesla ini di lebuhraya tempatan kelak, tetapi ini tidak bermakna bahawa infrastruktur Tesla seperti pusat pengecasan Supercharger akan diperkenalkan di pasaran tempatan dalam masa terdekat ini. Pemilik-pemilik ini mungkin juga akan perlu memasang pusat pengecasan mereka sendiri apabila membeli kenderaan-kenderaan ini.

Sumber: PaulTan.org

Komen