Cari @ Amanz

Sebuah saman telah difailkan ke atas Facebook di California bagi pihak mangsa penghapusan etnik Rohingya di Myanmar. Menurut writ saman, Facebook gagal menghalang penyebaran kandungan berbentuk kebencian di laman media sosial mereka sehingga menyebabkan ratusan ribu warga etnik Rohingya kini menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri dari dibunuh. Pihak plaintif meminta bayaran berjumlah $150 bilion (~RM632 bilion) bagi pihak kesemua ahli keluarga mangsa.

Sebelum ini dalam sebuah laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, Facebook dikesan sebagai platform utama penyebaran kandungan kebencian ke atas warga Rohingya di Myanmar. Algoritma Facebook menggandakan penyebaran kandungan ini di Myanmar dengan platform gagal memadamnya kerana tidak mempunyai moderator dan penyemak maklumat yang diberikan kuasa memadam.

Selain di California, saman juga akan difailkan di United Kingdom bagi menggandakan usaha memaksa Meta mengambil langkah lebih serius memerangi masalah Facebook dijadikan platform menyebarkan kebencian. Facebook sendiri mengesahkan tidak semua negara diberikan layanan yang sama. Negara tahap pertama seperti UK, India dan Amerika Syarikat diberikan keutamaan dengan kandungan terdapat moderator yang memastikan kandungan kebencian dipadam dengan pantas.

Dalam kes Myanmar, penyebaran maklumat dilakukan oleh akaun rasmi kerajaan yang dipimpin oleh junta tentera tetapi juga oleh sami Buddha yang mengapi-apikan sentimen keagamaan tanpa sebarang halangan. Isu yang sama berlaku juga di Malaysia dengan kandungan dengan sentimen perkauman anti Rohingya tersebar di kalangan saudara seagama mereka sendiri yang membuatkan situasi ini menjadi lebih trajis.

Ini adalah sebab mengapa apabila Zuckerberg mengumumkan alam meta Facebook Horizon ia menerima kritikan hebat. Jika Facebook sendiri gagal dikawal, apakah akan terjadi di alam meta pula?

Sumber AP

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd