Carian
Motorola Edge X30 Kini Rasmi – Pertama Dengan Snapdragon 8 Gen 1, Dilengkapi Kamera Swafoto 60MP
December 9, 2021 Aman

Motorola hari ini secara rasminya memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka, dijana dengan cip terkini Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Gen 1. Pengenalan ini juga sekaligus menjadikan Motorola menjadi terawal mengumumkan penawaran peranti mereka – mendahului Xiaomi.

Motorola Edge X30 ini hadir dengan skrin 6.7-inci AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 256GB.

Melengkapkan ia adalah kamera utama pada bahagian belakang yang menyertakan tiga sensor dengan sensor utama 50MP + sensor ultra-lebar 50MP + sensor kedalaman 2MP. Menariknya juga, telefon pintar ini hadir dengan kamera swafoto 60-megapixel yang terletak pada bahagian skrin berlubang dihadapan.

Motorola Edge X30 ini hadir dengan bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 68W. Pada bahagian perisian, ia dilengkapi Android 12 dengan antaramuka khusus dinamakan MYUI 3.0.

Bersama-sama dengan model ini, sebuah versi khas turut ditawarkan yang menyertakan kamera swafoto disebalik skrin, tetapi dengan penawaran spesifikasi lain yang sama.

Buat masa ini, Motorola hanya mengumumkan pelancaran peranti ini di China sahaja, dimana ia ditawarkan pada harga bermula 3199 Yuan, iaitu sekitar RM2123.

Komen