Carian
Ulasan Honor 50 Lite – Bukti Peranti Mampu Milik Kini Tidak Perlu Mengecewakan
December 13, 2021 Effi Saharudin

Honor 50 menandakan kepulangan Honor ke ekosistem Google Mobile Services. Tetapi ada yang merasakan harga jualannya masih terlalu tinggi sehingga meninggalkan lohong hitam dalam poket terutamanya dalam dunia yang ekonominya masih terumbang-ambing bila-bila masa sahaja boleh kacau bilau. Sebelum duit melayang di bawah gerhana cahaya neon, Honor 50 Lite turut dipasarkan di Malaysia pada harga yang lebih mesra dompet dengan perubahan dilakukan pada spesifikasi peranti.

Sudah menjadi lumrah di kalangan pengguna mempunyai prejudis dengan peranti mampu milik dengan label perlahan, tak berkuasa, kamera teruk dan bateri hampa digunakan. Adakah Honor 50 Lite dapat melarikan diri dari dikenakan label-label ini? Ini ialah ulasan penuh Amanz untuk Honor 50 Lite

Spesifikasi

Honor 50 Lite
Skrin6.67″ IPS LCD,
1080 x 2376 pixel, (391 PPI)
PemprosesSnapdragon 662 (11nm)
Cip4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 26o Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM8GB
Muatan Dalaman128 GB
Kamera Utama64+8+2+2 Megapixel f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/2.4
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.0
Bateri4300 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniNano/4G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Harga JualanRM 999

Skrin

Skrin peranti adalah cukup besar 6.67″ dari keluarga IPS LCD dengan kadar segar semula 60Hz. Bagi mengurangkan kos, teknologi lebih klasik digunakan oleh Honor tidak seperti Honor 50 yang telah berpindah ke OLED 120Hz. Kita mulakan dengan perkara positif mengenai skrin. Ianya terang dan rata tanpa sebarang lengkungan sisi yang harus kami katakan sepatutnya telah dipupuskan. Tatalan masih terasa lancar walaupun sekadar 60Hz sahaja. Anda hanya akan menyedari skrin “perlahan” sekiranya tidak pernah menggunakan peranti dengan kadar segar semula yang lebih tinggi.

Kekurangannya ialah warna yang kurang menyerlah tanpa sebarang sokongan kandungan HDR dan sukar untuk dibaca di bawah cahaya matahari yang terik. Ini juga bermakna sistem imbasan cap jari bawah skrin turut tidak disertakan. Sebaliknya sistem imbasan cap jari dipindahkan ke bahagian sisi terbina pada butang kuasa.

Sebuah lubang berbentuk bujur diletakkan pada sudut atas kanan untuk kamera swafoto. Kami di dalam kem yang merasakan lubang kamera yang besar tidak begitu mengganggu pengalaman penggunaan tetapi ini adalah berbeza mengikut individu.

Adakah pengorbanan menggunakan skrin IPS LCD tindakan yang kurang baik? Sebagai peminat skrin OLED kami katakan ya tetapi pada waktu yang sama hakikatnya ialah untuk mengurangkan kos inilah antara langkah yang diambil. Sungguhpun bukan skrin yang terbaik di pasaran peranti masih selesa digunakan tanpa sebarang isu yang kritikal.

Rekaan

Rekaan mengingatkan kami kepada Huawei Mate 40 cuma tanpa skrin air terjun yang melimpah ke sisi. Bingkai logam yang digunakan adalah tegap membuatkan peranti selesa di dalam tangan. Panel belakang pula diperbuat daripada bahan plastik yang berkilat. Satu lagi langkah penjimatan kos telah dilakukan oleh Honor tetapi setelah dipasangkan dengan kerangka kami tidak mempunyai isu ia diperbuat daripada plastik. Isu hanyalah ia memerangkap kotoran.

Panel belakang juga menempatkan sistem kuad-kamera dalam bonggol besar berbentuk bulat. Memang amat mirip dengan Mate 40 yang kami ulas beberapa tahun yang lalu. Akibatnya isu yang sama muncul iaitu peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa penggunaan kerangka.

Sebuah bicu audio 3.5mm diletakkan pada bahagian atas – posisi yang amat jarang dilihat sekarang. Di bahagian bawah port pengecas USB-C diletakkan bersama dengan satu kekisi pembesar suara mono dan talam SIM. Dwi-SIM nano boleh digunakan serentak tetapi tiada sokongan untuk kad mikro SD. Butang laras audio dan kuasa kesemuanya diletakkan pada sisi kanan. Sebuah lekuk yang besar diletakkan pada butang kuasa supaya mudah jari mencari pad imbasan cap jari.

Nama mungkin Honor 50 Lite tetapi peranti terasa sedikit berat di dalam tangan kerana lensa kamera yang berat di bahagian atas. Kami memerlukan sedikit masa untuk menggunakan peranti kerana penyebaran berat yang kurang seimbang ini. Namun begitu secara keseluruhan peranti terasa selesa di dalam tangan dengan kesemua butang serta elemen antaramuka peranti dapat diakses dengan mudah tanpa jari perlu dilenturkan seperti tubuh Farah Ann Abdul Hadi.

Penggunaan Dan Perisian

Selamat kembali ke Google Mobile Services kepada Honor dan sistem operasi Android 11 digunakan dengan pelancar Magic UI 4.2. Jangan gosokkan mata anda kerana pelancar ini memang kelihatan sama seperti EMUI pada peranti Huawei. Ikon, susunan menu skrin tetapan, ciri dan pilihan kustomasi adalah sama. Walaupun sudah bergerak kendiri, Honor masih belum bersedia untuk keluar dari bayangan bekas Abang Besar mereka. Tetapi kami tidak melihat ini sebagai sesuatu yang negatif.

Kami tahu terdapat ramai pengguna peranti Huawei di luar sana yang masin ingin terus menggunakan antaramuka EMUI yang mereka telah gunakan selama beberapa tahun. Mereka kini tidak boleh membeli peranti terkini Huawei kerana tiada lagi GMS. Dengan Magic UI 4.2, mereka boleh membeli peranti baharu seakan Huawei tetapi masih diberikan akses kepada GMS sekaligus kekal menggunakan aplikasi seperti YouTube, Google Photos, Gmail, Gboard, Google Drive, Google Maps dan banyak lagi.

Bagi memudahkan lagi penghijrahan dari peranti Huawei ke Honor, aplikasi Device Clone oleh Honor serasi digunakan dengan aplikasi Phone Clone Huawei. Kandungan telefon lama Huawei boleh dipindahkan dengan mudah ke peranti Honor menerusi aplikasi ini.

Antaramuka Magic UI 4.2 mudah digunakan, hadir dengan pelbagai ciri asas Android dan juga ciri-ciri kustomasi dari Honor. Sokongan gestur, Honor Share, dan penggunaan sebelah tangan juga disertakan. Pendek kata tiada kekurangan pada pelancar ini jika dibandingkan dengan pelancar Android lain di pasaran.

Sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu, kami tidak menemukan sebarang isu yang kritikal. Ya memang terasa peranti sedikit perlahan kerana Snapdragon 662 sudah berusia lebih setahun. Cip ini juga menyebabkan peranti kelas pertengahan ini tidak menyokong rangkaian 5G seperti Honor 50 yang dilengkapi cip Snapdragon 778. Selepas menggunakan beberapa peranti kelas pertengahan yang lebih premium seperti Honor 50, Samsung Galaxy A52s atau Oppo Reno6 Z tahun ini, memang dapat dirasakan Honor 50 Lite tidak sepantas tiga peranti tadi.

Tetapi harus kami ingatkan tiga peranti tadi dijual pada harga yang jauh lebih mahal. Konsesi yang perlu dilakukan apabila membeli peranti lebih mampu milik ialah ia terasa sedikit perlahan. Namun begitu “perlahan” di sini tidaklah seperti jurang Grand Canyon tetapi hanya beberapa mili saat. Jika anda tidak pernah menggunakan peranti mercu, ia mungkin tidak akan disedari langsung. Turunkan palang harapan anda dan Honor 50 Lite dengan Snapdragon 662 beroperasi setanding dengan harga ia ditawarkan.

Telefoni dan GPS

Sokongan Dwi-SIM 4G serentak disertakan bagi mereka yang ingin menggunakan dua perkhidmatan selular secara serentak. Dengan perkhidmatan 4G mula dihentikan di Malaysia, kami menyedari kualiti Internet dan telefoni Honor 50 Lite adalah memuaskan. Kami menggunakan Digi tetapi tidak pula mencuba telko lain. Sokongan WiFi 5 GHz disertakan jadi anda boleh menikmati kelajuan Internet yang pantas jika melanggan kepada Internet jalur lebar yang pantas di rumah. Panggilan telefon juga jelas sepanjang tempoh ujian. Prestasi GPS juga tidak mengecewakan dengan secara purata lokasi boleh dikesan selepas hanya beberapa saat.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan Geekbench 5 dan Antutu 3D menunjukkan jurang prestasi Snapdragon 662 dengan Snapdragon 778. Ia mencatatkan 308/1248 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 211,679 markah dalam ujian Antutu 3D.

Sebagai perbandingan cip Snapdraon 778G mencatatkan 702/2193 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 483,647 markah dalam ujian Antutu 3D. Perbezaan prestasi sehingga dua kali ganda tetapi inilah hakikatnya dengan penggunaan cip yang sudah agak berusia.

Dalam penggunaan dunia sebenar, Snapdragon 662 hanya mampu memainkan permua bergrafik tinggi pada tetapan sederhana atau rendah. Kadar bingkai permainan akan jatuh menjunam sekiranya tetapan yang lebih tinggi digunakan. Untuk aplikasi lain seperti pelayar web, Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter pula tiada sebarang isu kami sedari kerana kesemuanya tidak memerlukan kuasa yang tinggi untuk beroperasi. Sebagai kesimpulan Honor 50 Lite bukan peranti untuk mereka yang ingin menjalankan permua bergrafik tinggi.

Kamera

Dengan sistem kuad kamera 64+8+2+2 MP dan kamera swafoto 16MP mungkin ramai mengharapkan prestasi kamera Honor 50 Lite menyerupai kemampuan kamera Mate 40. Tetapi kami merasakan pembaca perlu realistik memandangkan Honor 50 Lite ialah sebuah telefon pintar mampu milik. Sistem kamera utama menggabungkan sensor sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan kedalaman. Kualiti gambar menggunakan sensor 64MP adalah sederhana sahaja seperti 90% peranti kelas pertengahan yang lain. Tanpa sistem OIS, gambar yang diambil adalah tidak begitu tajam lebih-lebih lagi apabila menggunakan mod malam.

Mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu. Dalam situasi pencahayaan yang baik dan tangan yang stabil gambar yang diambil memuaskan untuk perkongsian di media sosial. Warna kurang menyerlah kerana tidak menjalani pasca-proses yang agresif. Kebanyakan gambar perlu disunting semula bagi mendapatkan warna yang lebih menyerlah. Hingar agak terkawal dalam situasi yang ideal ini.

Tetapi dalam kawasan tertutup dan gelap, kualiti gambar akan menjunam berkadar terus dengan kekuatan cahaya. Dalam pusat membeli belah dengan bukaan lensa yang sedikit lebih lama, ketiadaan OIS menyebabkan gambar jelas kelihatan lebih lembut. Apabila mod malam digunakan dengan bukaan pengatup yang lebih lama kualiti gambar yang diambil langsung tidak memuaskan. Gambar kelihatan kabur, warna kurang menyerlah dan keterangan maksimum tidak sebaik yang boleh dilihat pada peranti mercu.

Mod makro dengan sensor 2MP beroperasi seperti yang dijangkakan. Setakat ini kami masih belum mampu melihat gambar yang senonoh diambil menggunakan sensor makro 2MP. Diharap pengeluar peranti menyedari lebih baik tidak menyertakan mod makro jika kualiti gambar yang ditangkap kabur seperti masa depan Ole Gunnar Solkjaer di Manchester United. Lebih baik sensor tri-kamera sahaja digunakan kerana kuad-kamera dengan sensor 2MP adalah tidak perlu. Hanya meningkatkan kos sahaja.

Bateri

Bateri 4300 mAh yang digunakan adalah kecil berbanding 5000 mAh yang digunakan pada pesaing dalam kelas yang sama seperti Oppo A95. Hasilnya ialah prestasi bateri yang sekadar sederhana iaitu 8 jam SOT dan sehingga 13 jam dalam penggunaan yang ringan. Prestasi paling teruk ialah SOT sekitar 5 jam sahaja. Isu bateri yang tidak berapa tahan lama ini diselesaikan dengan sistem pengecasan 66W yang amat pantas. Bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 50 minit. Habis bateri cepat tetapi pengecasan semula juga pantas. Cukup seimbang tetapi hakikatnya bateri yang lebih besar sepatutnya diberikan.

Audio

Audio sekadar mono di bahagian bawah tetapi terdapat bicu audio 3.5mm di bahagian atas. Tanpa sokongan speaker stereo, audio adalah tidak seimbang. Pada kelantangan tertinggi juga audio mula berkecamuk dan pecah. Untuk pengalaman audio terbaik penggunaan fon telinga adalah disarankan. Kami yakin ramai kini juga bersetuju apabila kami mengatakan audio mono tidak lagi boleh diterima khususnya pada peranti kelas pertengahan.

Pesaing

Honor 50 LiteOppo A95Poco M3 Pro 5G
6.67″ IPS LCD, 1080 x 2376, 60Hz, (391 PPI)
6.43″ AMOLED, 1080 x 2400, 60Hz, (409 PPI)6.5″ IPS LCD, 1080 x 2340,
90Hz, (395 ppi)
Snapdragon 662 (11nm)
4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Snapdragon 662 (11nm)
4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Dimensity 700 (7nm)
2 X 2.2 GHz Cortex A76
6 X 2.0 GHz Cortex A55
Adreno 610Adreno 610Mali G57 MC2
8 GB 8 GB6 GB
128 GB
128 GB

128 UFS 2.2
(Mikro SD 512GB)
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.5
TiadaTiadaTiada
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
4300 mAh (Berwayar 66W)5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 18W)
Harga RM999Harga RM1099Harga RM799

Kesimpulan

Di tahun 2021, peranti yang dijual pada harga bawah RM1000 tidak lagi boleh dikatakan sebagai sampah. Terdapat banyak peranti dalam lingkungan harga ini sudah cukup baik untuk digunakan sebagai peranti pertama untuk anak atau bagi mereka yang tidak mahu berbelanja lebih. Honor 50 Lite jatuh ke dalam kategori ini kerana walaupun tidak dilengkapi cip paling terkini, Snapdragon 662 adalah lebih dari berkuasa untuk menjalankan aplikasi media sosial, perkhidmatan penstriman dan permua kelas permulaan.

Dengan Magic UI 4.2, terdapat pelbagai ciri tambahan disertakan untuk memudahkan lagi penggunaan peranti. Pada hemat kami Hono 50 Lite ialah peranti yang sesuai digunakan oleh pengguna yang inginkan kesemua ciri peranti Huwei tetapi masih mempunyai akses kepada GMS sekaligus juga menggunakan YouTube, Google Maps, Google Photos, Gmail dan banyak lagi ekosistem Google.

Kekurangan terletak pada bateri yang tidak cukup besar tetapi ini diselesaikan dengan sistem pengecasan yang amat pantas. Prestasi kamera juga hanya sekadar sederhana dan tidak memuaskan pada waktu malam. Penggunaan speaker mono juga mengecewakan tetapi kekecewaan diubati dengan bicu audio 3.5mm.

Pada harga RM999, Honor 50 Lite ialah peranti yang mampu milik dan menawarkan pelbagai ciri menarik asalkan anda tidak memerlukan 5G, kemampuan mod malam yang baik dan bateri sepanjang hari.

Pro

  • Rekaan kemas dan selesa di dalam tangan.
  • Pengecasan amat pantas 66W.
  • Masih dilengkapi bicu audio 3.5mm.
  • Prestasi lancar walaupun pemproses agak berusia.

Kontra

  • Kemampuan mod malam dan makro yang mengecewakan.
  • Speaker mono.
  • Bateri tidak bertahan lama.
Komen