Carian
Mercedes Menerima Kelulusan Sistem Swapandu Tahap 3 Pertama Dunia
December 11, 2021 Effi Saharudin

Sistem swapandu yang digunakan pada kenderaan paling canggih di dunia pada waktu ini masih lagi di Tahap 2. Semasa sistem swapandu digunakan, tangan pemandu harus sentiasa diletakkan di stereng sebagai langkah keselamatan sekiranya pemanduan manual perlu dilakukan. Kini Mercedes Benz menjadi syarikat pertama dunia yang menerima kelulusan swapandu Tahap 3 pada kereta yang membolehkan sistem digunakan tanpa tangan pemandu di stereng.

Kelulusan dibenarkan untuk penggunaan sistem swapandu Drive Pilot di atas Autobahn pada kelajuan maksimum 60 kilometer sejam. Selain memastikan kenderaan dapat memandu di lorong yang betul, Drive Pilot juga boleh mengelak dari kemalangan berlaku menurut Mercedes. Sistem ini akan diberikan kepada kenderaan baharu Mercedes S-Class yang dilancarkan pada separuh tahun pertama 2022.

Sistem pemanduan Tahap 3 bukanlah teknologi baharu dan sebenarnya telah digunakan oleh pelbagai syarikat seperti WayMo. Tetapi kelulusan yang diterima oleh Mercedes untuk ia digunakan pada kenderaan yang dijual kepada orang awam menjadikan situasi ini unik.

Kita semakin hampir kepada dunia swapandu dan adakah ini bermakna kemalangan akibat kelalaian manusia akan kelak berjaya dihapuskan?

Komen