Pemohon Kerja MGM Resorts Boleh Mencuba Tugas Terlebih Dahulu Menggunakan Set Realiti Maya

Diterbitkan pada Dis 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apabila membeli kereta adalah normal untuk memandu uji terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian dengan diri. Tetapi apabila memohon kerja ia seakan berjudi dengan masa depan. Kalau bernasib baik mendapat majikan yang berhati perut dan sebaliknya jika bernasib malang. Dengan isu pekerja perhotelan meletakkan jawatan di Amerika Syarikat, MGM Resorts cuba menyelesaikan isu ini dengan menggunakan set realiti maya.

Individu yang memohon kerja boleh mencuba terlebih dahulu tugas yang akan dilakukan kelak menggunakan set realiti maya. Dengan ini mereka akan mendapat maklumat lebih lanjut mengenai tugas yang akan disandang sebelum memulakan tugas. Ini bukan sahaja menjimatkan masa mereka tetapi mengurangkan kos untuk melatih pekerja yang kemudiannya meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan tugas yang diberikan.

Sebelum ini pemohon hanya diberikan video kehidupan seharian pekerja MGM Resorts yang terkenal dengan rangkaian kasino mereka. Tetapi dunia pasca pandemik menyebabkan pelanggan menjadi lebih agresif dan dalam pelbagai kes lebih kurang ajar. Ini adalah antara sebab pekerja meletakkan jawatan dalam jumlah yang banyak. Set realiti maya boleh dicuba di pusat-pusat pengambilan kerja dan pesta kerjaya di Amerika Syarikat bermula Januari depan.

Selain menjadi tingkap kepada kehidupan sebagai pekerja MGM Resorts, set realiti maya juga akan digunakan untuk melatih kakitangan untuk berhadapan dengan situasi melayan pelanggan yang bermasalah.

Sumber The Insider

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami