OnePlus kini tidak lagi fokus akan dalam satu komuniti kecil atau peminat teknologi, sebaliknya sama seperti pesaing – OnePlus telah menjadi syarikat pengeluar peranti gergasi dengan penawaran yang pelbagai.
Jika dulu hanya terkenal dengan peranti mercu mampu milik, kini ia menawarkan sejumlah variasi penawaran, termasuk peranti kelas mercu, kelas pertengahan dan juga kelas permulaan.
Sejak OnePlus memperkenalkan siri Nord dan Nord CE, semakin ramai mengenali jenama ini. Terkini, OnePlus dilihat sudah bersedia untuk melancarkan OnePlus Nord 2 CE pula.

Peranti ini dikatakan akan menggunakan skrin 6.4-inci AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip pemprosesan Dimensity 900, memori mencapai 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Kamera pula dikhabarkan adalah konfigurasi tri-kamera dengan sensor 64MP+8MP+2MP.
Peranti juga akan hadir dengan bateri 4500mAh bersama pengecasan pantas 65W dan menjalankan sistem operasi Oxygen OS 12 yang bergabung dengan ColorOS berasaskan Android 12. Peranti juga tidak mempunyai butang kawalan notifikasi ikonik dan mungkin akan dijual pada harga sekitar RM1300-RM1500.