General Atomics Mojave Ialah Dron Tempur Dengan Kemampuan Membawa 16 Misil Hellfire

Diterbitkan pada Dis 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Penggunaan dron di medan perang telah dibuktikan mampu menggandakan kemampuan pasukan yang kecil. Ini dapat dilihat dalam konflik Nagorno Karabakh tahun lalu dengan ratusan kenderaan berperisai Armeia musnah diserang dron milik Azerbaijian. General Atomics sebagai antara pelopor teknologi dron tempur telah melancarkan pula Mojave dengan kuasa pemusnah yang lebih menakutkan.

Dron General Atomics Mojave mempunyai rekaan berasaskan MQ-9 Reaper dan MQ-1C Gray Eagle tetapi dengan kuasa enjin serta gear mendarat yang lebih tahan lasak. Ia boleh membawa sehingga 16 misil udara ke darat Hellfire berbanding hanya 4 yang boleh dibawa oleh MQ-1C sebelum ini dan hanya dua pada dron MQ-1 Predator yang dipopularkan permainan Call of Duty.

Selain misil, Mojave juga boleh dilengkapi sistem minigun Dillon Aero M134D-H. Menurut General Atomics dron boleh terbang sehingga 27 jam berterusan untuk misi pemantauan ruang udara atau sehingga 9 jam sekiranya dilengkapi 12 misil Hellfire. Ini membolehkan ia beroperasi lebih lama membantu tentera di medan perang berbanding helikopter Apache dan pesawat A-10 Warthog yang selama ini digunakan untuk misi sokongan udara berdekatan (CAS).

Kerana saiznya yang kecil, ia boleh dimasukkan ke dalam pesawat kargo C-130 Hercules atau C-17 Globemaster. Kemudian ia boleh terbang dari lapangan udara kasar untuk memberikan bantuan udara kepada tentera infantri yang sedang menjalankan misi.

komen


© Amanz / 2022 Kami