Intel sudah lama tidak memperkenalkan penyejuk CPU untuk siri CPU mereka, mengatakan bahawa mereka yang membeli CPU-CPU ini secara lazimnya akan menggunakan penyejuk pilihan mereka sendiri untuk binaan-binaan komputer mereka.
Walaupun perkara ini masih benar untuk siri CPU Intel Core -K yang boleh dilewahjam, Intel nampaknya akan memperkenalkan semula penyejuk CPU untuk siri CPU Alder Lake bukan -K. Intel akan memperkenalkan bukan satu, tetapi tiga rekaan penyejuk CPU untuk model-model CPU berbeza.
Butiran mengenai penyejuk-penyejuk ini telah tertiris, dimana Intel dijangka akan memperkenalkan model penyejuk Intel RH1 untuk kelas CPU Intel Core i9, RM1 untuk kelas CPU Intel Core i7 dan Intel Core i5, manakala Intel RS1 akan digunakan untuk menyejukkan CPU kelas Intel Core i3.
Penyejuk-penyejuk ini pastinya adalah sebuah pengenalan baru yang memudahkan kerja pembina komputer yang lebih rela gunakan pilihan sedia ada untuk binaan seperti HTPC dan komputer-komputer kecil berkuasa rendah tanpa perlu membayar wang lebih untuk penyejuk CPU khas.
Penyejuk-penyejuk ini dijangka akan diperkenalkan bersama-sama CPU Intel Alder Lake terkini pada awal tahun hadapan, mungkin di acara Consumer Electronics Show.
Sumber: VideoCardz