Samsung Dan IBM Mengumumkan Rekaan Cip Yang Membolehkan Telefon Pintar Berfungsi Seminggu

Diterbitkan pada Dis 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Telefon pintar mercu dengan ketahanan bateri terbaik setakat ini ialah iPhone 13 Pro Max yang secara konsisten boleh bertahan melebihi sehari dengan sekali caj. Pada platform Android pula peranti dengan bateri 10,000 mAh telah dijual yang menjanjikan waktu operasi sehingga seminggu. Masalah utama telefon pintar ialah cip berkuasa memerlukan sumber tenaga yang juga besar untuk beroperasi. Oleh itu cip yang lebih menjimatkan bateri perlu dibangunkan untuk menyelesaikan isu ini.

Samsung dan IBM telah mengumumkan rekaan cip baharu yang diberi nama Vertical Transport Field Effect Transistors (VTFET). Ia menggantikan rekaan FinFET yang digunakan selama ini. Menurut kedua-dua syarikat, dengan VTFET, telefon pintar yang boleh beroperasi sehingga seminggu dengan sekali caj bakal menjadi realiti.

Vertical Transport Field Effect Transistors (VTFET) menyusun transistor secara menegak berbanding hanya pada satu satah sahaja sebelum ini. Hasilnya cip dengan susunan transistor yang lebih padat boleh dihasilkan dengan penjimatan penggunaan tenaga sehhingga 85% boleh dicapai.

Pada waktu yang sama peningkatan kuasa memproses sebanyak dua kali ganda juga boleh dinikmati sekaligus membolehkan Hukum Moore diteruskan. Rekaan VTFET masih lagi sedang diperhalusi dan masih belum bersedia digunakan pada cip komersial.

komen


© Amanz / 2022 Kami