Peranti yang dibeli secara puratanya dapat bertahan sehingga tiga tahun sebelum perlu ditukar kerana tidak lagi berkuasa atau sukar dibaiki apabila rosak. Ini menyumbang kepada lambakan sampah elektronik yang mencemari alam sekitar. Sejak dua tahun kebelakangan ini wujud kesedaran dari pengeluar dan orang ramai untuk membeli peranti yang lebih mesra alam.
Dell turut mempunyai impian menjadi lebih lestari dan telah memperlihatkan Dell Concept Luna, sebuah komputer riba yang direka untuk mudah dibaiki. Perubahan paling besar dilakukan ia tidak menggunakan sebarang gam tradisional yang menyebabkan peranti sukar dibuka dan komponen diganti. Sebaliknya gam berasaskan flax digunakan yang boleh dilarutkan dengan air untuk mencairkannya ketika proses membaiki.
Jumlah skru yang digunakan pada Concept Luna juga 10 kali ganda lebih sedikit berbanding komputer riba Dell yang lain. Skru juga menggunakan kepala Philips yang membolehkan komputer riba dibaiki sendiri oleh pemilik di rumah. Banyak pengeluar menggunakan skru dengan kepala khas bagi menghalang pemilik dari melakukan baik pulih sendiri.
Papan induk dikecilkan sehingga 75% dengan penggunaan komponen pula dikurangkan sehingga 20%. Dengan ini jika Project Luna akhirnya dibuang, sampah elektronik yang dihasilkan meninggalkan impak yang lebih kecil kepada alam sekitar. Tidak berakhir di situ komponen seperti papan kunci juga mudah ditukar ganti apabila rosak serta mudah dikitar semula. Akhir sekali tubuh Concept Luna diperbuat daripada logam aluminium yang dihasilkan menerusi stesen janakuasa hidro untuk mengurangkan lagi impak kepada alam sekitar.
Dell Project Luna masih lagi sekadar konsep pada waktu ini tetapi Dell akan menggunakan pengalaman menghasilkannya untuk pengeluaran produk yang lebih mesra alam di masa hadapan.