Cari @ Amanz

Pihak Digital Nasional Berhad mengatakan bahawa kos kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang menggunakan rangkaian mereka untuk menawarkan rangkaian 5G adalah jauh lebih rendah daripada membangunkan infrastruktur mereka sendiri, tetapi apa yang mungkin tidak ramai sedar ialah kos membangunkan rangkaian 5G, khususnya untuk sistem yang boleh menampung pelbagai perkhidmatan telekomunikasi.

Terkini, Kementerian Kewangan Malaysia, menerusi Timbalan Menteri II, Yamani Hafez Musa telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa kos untuk membangunkan rangkaian 5G di Malaysia ialah setinggi RM12.5 bilion, sedikit lebih tinggi daripada jangkauan awal RM11 bilion sebelum ini.

Tambahan RM1.5 bilion adalah bagi membolehkan Telekom Malaysia untuk membina lebih banyak rangkaian gentian optik yang diperlukan untuk menguasakan rangkaian 5G di seluruh negara. Buat masa ini, ia dikatakan bahawa rangkaian gentian optik yang diperlukan untuk memperluaskan rangkaian 5G di Malaysia tidak mencukupi, dan wang tersebut akan digunakan untuk menambahkan capaian rangkaian tersebut dalam 10 tahun akan datang.

Pecahan tentang penggunaan RM11 bilion tersebut turut diperlihatkan, dimana RM4 bilion dibelanjakan untuk kelengkapan rangkaian mudah-alih dan juga perkhidmatan penyelenggaraan Ericsson, manakala RM6 bilion lagi digunakan untuk kos-kos pembangunan infrastruktur, penggunaan tenaga elektrik dan kos-kos lain, manakala RM1 bilion lagi adalah untuk pembayaran Apparatus Assignment kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tempatan.

Beliau juga mengatakan bahawa selain daripada Ericsson yang akan memasang dan menyelenggara kelengkapan rangkaian 5G ini, pembayaran juga dibuat kepada pemilik tapak pencawang radio, syarikat-syarikat telekomunikasi dan juga pembekal tenaga elektrik.

Sumber: Bernama

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd