Carian
Huawei Kongsi Imej Sebenar P50 Pocket – Hadir Dengan Skrin Kedua Berbentuk Bulat
December 16, 2021 Fahim Zahar

Semalam Huawei telah kongsi poster bagi mengacah rekaan Huawei P50 Pocket. Ia adalah telefon pintar dengan skrin boleh-lipat yang akan bersaing dengan Samsung Galaxy Z Flip3. Huawei mendedahkan pilihan warna putih mereka yang ada corak berlian.

Baru-baru ini, Huawei telah mendedahkan pula P50 Pocket yang berwarna emas. Keseluruhan rekaan belakang peranti boleh dilihat dengan jelas. Dua ‘bonggol’ bulat besar yang disangkakan bonggol kamera adalah satu untuk kamera dan bulatan kedua adalah untuk skrin kedua.

Skrin kedua di luar ini tidak didedahkan pula spesifikasinya. Tetapi ia mungkin adalah OLED dan digunakan untuk notifikasi, kawalan asas serta menjadi pemidang tilik untuk swafoto. Pada bahagian kamera, bonggol ini mendedahkan penggunaan konfigurasi tri-kamera. Ia dilihat berbeza dengan P50, jadi mungkin sensor berbeza.

Ada kebarangkalian spesifikasi kamera peranti ini tidak akan setaraf P50, tetapi mungkin lebih rendah. Rekaan panel belakang juga berbeza dengan warna putih. Corak digunakan seakan daun atau sejenis corak berlaun yang memberi sedikit elemen kemewahan pada peranti ini.

Panel belakang ini juga diperbuat daripada kaca, serta diberi sentuhan khas untuk selesa di tangan dan mudah dikendalikan. Ia juga dikatakan adalah peranti gaya hidup yang cuba mimik beg tangan wanita. Peranti ini akan dilancarkan pada 23 Disember akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Komen