Ulasan Jabra Elite 7 Pro – Masih Di Antara Yang Terbaik Di Pasaran

Diterbitkan pada Dis 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jabra adalah antara jenama produk audio yang tidak begitu menyerlah dan ramai tidak tahu jenama ini sebenarnya menawarkan produk yang berkualiti. Apabila orang ramai di luar sana memilih Sony WF-1000XM3 dan XM4, saya memilih Jabra Elite 75T dan Elite 85T.

Dalam pengalaman saya sendiri, TWS mercu Jabra adalah antara yang padan dengan diri saya. Lebih setahun saya gunakan Elite 85T sebagai TWS harian dan kini pengganti telah tiba iaitu Elite 7 Pro. Persoalannya mampukah model ini menjadi lebih baik? Adakah berbaloi untuk naik taraf? Apa pula keistimewaannya kali ini? Ini adalah artikel ulasan Jabra Elite 7 Pro selepas hampir sebulan menggunakannya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Jabra Elite 7 Pro
JenisFon dalam telinga
Putik telinga EarGels
Pemacu Audio6mm
SBC & AAC
Mikrofon6x mikrofon
Sensor konduksi tulang VPU
Algoritma Jabra
HearThrough
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
BateriMencapai 8 jam berterusan
30 jam dengan pengecas
5 minit cas, 1 jam guna
TambatanBluetooth
PengecasanUSB-C
Qi
Sokongan aplikasiAndroid, iOS
KawalanButang fizikal
Kemampuan kalis airIP57
Harga JualanRM999

Bagi yang tidak mengenali Jabra, spesifikasi dan ciri yang ditawarkan biasanya tidak begitu menyerlah. Ini kerana Jabra hanya menggunakan kepakaran mereka dalam industri alat bantuan pendengaran untuk produk audio mereka ini. Jadi mereka lebih tekankan kualiti audio serta kehebatan teknologi pembatalan hingar dan mod tembus bunyi. Keunikan pada HearThrough yang memuaskan kerana tiadanya kesan hingar melampau, ANC yang jelas dan tidak rasa serabut serta mudah digunakan dan antara TWS yang boleh dikustomasi untuk setiap pengguna.

Di atas kertas, Elite 7 Pro tidak mempunyai spesifikasi yang mengagumkan pun. Pemacu audio 6mm sahaja, codec pula terhad dengan SBC dan AAC, dan masih kekal dengan format rekaan yang lebih kurang sama tetapi sedikit lebih baik. Tapi kekuatan Jabra adalah pada algoritma mereka dan kualiti pemacu audio. Misalnya walaupun hanya 6mm, melalui Sound+ ia boleh ditala kepada pelbagai aras untuk menjadikan audio lebih enak.

Fungsi MySound dan MyFit membuatkan seolah setiap Elite 7 Pro tidak akan mempunyai kualiti audio yang 100% sama jika ditetapkan mengikut citarasa masing-masing yang berbeza. Ia cuba mendekatkan lagi produk dengan jiwa pengguna.

Rekaan keseluruhan Elite 7 Pro adalah lebih kompak dan padat. Isipadu pod pengecas seakan separuh hilang dan kemudian telah dipenyekkan menjadikan ia lebih nipis. Saiz setiap fon telinga juga lebih kecil dengan putik yang tirus dan lebih tenggelam ke dalam telinga.

Yang hilang pada model TWS ini adalah butang fizikal untuk tetapan semula/tambatan. Kali ini Jabra bergantung sepenuhnya kepada sensor, sambungan magnet dan butang fizikal pada permukaan setiap fon telinga. Saiz yang kecil ini membuatkan TWS ini lebih mudah disimpan dalam kocek seluar atau ruangan sempit dalam beg.

Rekaan pod pengecas memang nampak kemas, kualiti binaan tidak begitu premium berbanding 85T – mungkin kerana itu harga jualan semasa pelancaran lebih rendah. Ia tidak kelihatan begitu premium dan lebih ke arah rekaan industri atau untuk pengguna profesional.

Turut terbina adalah port pengecas USB-C untuk pengecasan. Putik telinga tadi, dilindungi dengan bahan silikon diberi nama EarGels untuk keselesaan tambahan pengguna.

Kualiti Audio

Profil audio daripada Elite 85T ke Elite 7 Pro seakan tiada beza ketara. Kalau ada pun hanya sedikit sahaja. Tetapi perubahan drastik adalah pada mod pembatalan hingar aktif yang rasa lebih selesa dan audio yang entah macam mana rasa lebih senang dan tenang di dalam telinga.

Bass/Lows

Bass TWS ini adalah cukup padat, berdentum dengan baik dan memberikan satu impak yang mendebarkan. Ia cukup kuat dan rasa akan gegarannya. Sesetengah orang akan pasti terus sukakan profil audio ini kerana tidak kira muzik yang berat atau filem aksi – ia akan memberikan satu pengalaman yang bagus. Cuma, tetapan lalai bass TWS ini pada hemat saya sedikit terlampau kuat. Jadi muzik yang terlampau fokus pada bass akan rasa sedikit serabut.

Vokal/Mids

Vokal pula cukup jelas dan natural. Ia juga membuatkan setiap suara penyanyi lelaki dan wanita rasa sedikit lebih dalam dan jelas kerana bass yang kuat tadi. Kebanyakan muzik dengan tetapan lalai sudah mampu memberikan kualiti vokal yang baik serta memuaskan. Cuma kadangkala jika ingin hayati agar jiwa terselam dengan setiap muzik – gunakan tetapan Speech atau Treble Boost untuk vokal yang diberi lebih penekanan.

Nada Tinggi/Highs

Nada tinggi walau bagaimanapun, bukan antara kekuatan TWS ini. Apabila hampir sampai ke puncak untuk pengguna menghayati instrumen atau vokal – nada/tona tinggi terus terjatuh menyebabkan rasa kecewa. Ia juga tidak begitu menyerlah dan cukup mantap untuk dihayati berpanjangan jika dalam sesebuah lagu ada banyak fokus kepada bahagian highs.

Pementasan Audio & Pengasingan

Untuk pementasan audio dan pengasingannya, vokal memang cuba menarik perhatian pengguna tetapi ia memberikan satu perasaan seakan instrumen semua berada di hadapan muka pengguna. Jarak setiap instrumen walau bagaimanapun masih ada ‘jarak’ yang baik dan boleh dikenalpasti bunyi setiap satu. Cuma apabila menggunakan mod pembatalan hingar, bass akan menjadi lebih serabut daripada sepatutnya.

Secara keseluruhan, profil terbaik yang secara peribadi saya suka adalah tetapan lalai sahaja. Tetapi jika inginkan lebih definisi, tetapan Speech mungkin terbaik untuk semua dengan tetapan treble memberi peluang kepada nada lebih tinggi.

ANC/Mod Tembus Bunyi

Mereka yang tidak biasa dengan ANC mungkin akan rasakan pada Elite 7 Pro ini seakan tipu. Kerana seakan tiada kesan tekanan apabila mod ini diaktifkan. Ini kerana, Jabra kembalikan kehebatan mereka dalam kualiti putik telinga dan rekaan baik untuk fungsi pembatalan hingar pasif berlaku.

Sumbat sahaja Elite 7 Pro sudah seakan mengaktifkan ANC, sedangkan belum. Apabila ia diaktifkan, lebih banyak kesan hingar boleh dibatalkan. Lagi-lagi kesan hingar ambien serta bunyi frekuensi mengganggu. Mod tembus bunyi seperti yang dikatakan tadi adalah antara yang terbaik dan jelas dalam pasaran kekal bersama fungsi Sidetone untuk panggilan telefon yang lebih berkualiti.

Bateri

Untuk diri saya yang bukannya 24 jam sumbat TWS dalam telinga, ketahanan bateri yang Jabra dakwa adalah mencapai 8 jam secara berterusan dan 30 jam bersama pod pengecas. Sepanjang saya menggunakan TWS ini, bateri tidak menjadi isu serius. Benar, bukan yang terbaik di antara pesaing – tetapi ia cukup memuaskan.

Sekali cas untuk saya, yang mana tidak pantas mana hanya 30 minit untuk cas sehingga 50% – sekitar seminggu tiada masalah jika sehari dalam 2-3 jam sahaja.

Aplikasi

Untuk majoriti pengguna, ramai akan rasakan aplikasi Sound+ ini serabut. Ia banyak tetapan dan bahagian pada awal penggunaan. Ia leceh. Ramai suka, dapat – buka – dan pakai. Tapi disebabkan Jabra ingin memperibadikan TWS ini kepada setiap pengguna dengan MyFit dan MySound.

Ia juga ada banyak kawalan dan tetapan untuk penyama, butang kawalan serta ada sokongan untuk mendengar bunyi alam semula jadi untuk ketenangan diri. Usah risau, hanya sekali sahaja pengguna perlu lalui tetapan leceh – selepas itu semuanya boleh digunakan dengan baik dan mudah.

Kesimpulan

Sejak Jabra Elite 75T, jenama ini mula menjadi antara jenama kegeraman untuk set fon telinga nirwayar sebenar. Saya letakkan Sony XM3/XM4 di tempat kedua selepas Jabra dan Apple di tempat ketiga. YA ada banyak pesaing di luar sana, tetapi tiga ini antara yang lebih terkenal dalam industri audio. Dengan Elite 7 Pro, walaupun ada rasa sesuatu yang kurang, pengalaman keseluruhan menggunakan TWS ini setiap hari masih mengasyikkan dan mampu menggembirakan hati saya.

Tiada produk yang 100% sempurna yang dapat memenuhi semua permintaan pengguna. Pasti sekurang-kurangnya ada satu kekurangan yang sukar untuk diterima. Tetapi selepas pelbagai TWS diuji di makmal Amanz, Jabra Elite 7 Pro masih layak berada dalam kategori TWS dengan kualiti audio terbaik kelas mercu yang ada di pasaran.


Pro

  • Kualiti audio masih antara yang terbaik dan memuaskan
  • Kualiti ANC dan mod tembus bunyi antara terbaik dalam pasaran
  • Binaan lebih nipis dan kompak yang memudahkan
  • Selesa di telinga untuk penggunaan lama

Kontra

  • Kualiti binaan seakan kurang berkualiti
  • Tetapan profil yang mungkin melecehkan
  • Nada tinggi yang tidak memuaskan

komen


© Amanz / 2022 Kami