Cari @ Amanz

Baru-baru ini, Samsung telah hadir dengan penawaran baru untuk siri Galaxy A mereka. Melaluinya, Samsung Galaxy A13 5G telah diperkenalkan dengan janaan cip MediaTek Dimensity 700, sekaligus dikatakan menjadi peranti dengan sokongan 5G terbina mampu milik dalam portfolio berkenaan setakat ini.

Dalam perkembangan terkini, Samsung dikatakan bakal hadir dengan versi 4G pula untuk model berkenaan. Sebuah peranti misteri Samsung dengan nombor model SM-A135F telah ditemui di laman penanda aras Geekbench. Ia menunjukkan peranti akan dijana oleh cip Exynos 850, memori 3GB RAM dan menjalankan Android 12.

Ini adalah cip 4G yang diperkenalkan tahun lalu dengan teknologi 8nm. Ia juga dilengkapi lapan teras kesemuanya dengan CPU Cortex-A55 bersama GPU Mali-G52. Di samping itu, ia juga adalah cip yang sama digunakan pada beberapa peranti Samsung terdahulu seperti Galaxy M12, Galaxy Xcover 5 dan lain-lain.

Terdapat ura-ura mengatakan ia mungkin akan dilancarkan sebagai Samsung Galaxy A13 4G kelak. Menurut spekulasi awal, peranti ini akan dilengkapi skrin sejenis LCD dengan kadar segar semula 90Hz. Ia juga dijangka hadir dengan beberapa varian memori dan disertakan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 15W. Tidak habis disitu, ia juga dijangka hadir dalam beberapa minggu akan datang.

Sumber : GSMArena

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd