Tahun lepas, dongel Android TV Xiaomi iaitu Xiaomi Mi TV Stick telah dilancarkan. Tetapi apa yang Xiaomi lancarkan adalah variasi FHD sahaja dan bukan variasi 4K yang tertiris. Kini selepas lebih setahun, Xiaomi secara rasminya melancarkan dongel ini dengan nama baru – Xiaomi TV Stick 4K.
Tiada lagi nama Mi seperti sebelum ini. Dongel ini hadir dengan cip pemprosesan ARM Cortex-A35 dan GPU mali-G31 MP2 bersama dengan 2GB RAM dan 8GB storan dalaman. Dongel ini menjalankan Android TV 11 yang mana agak mengecewakan, Realme pun boleh hadir dengan variasi Google TV.
Alat kawalan jauh adalah jenis Bluetooth dan mempunyai butang Netflix, Prime Video serta khusus untuk menyeru Google Assistant. Dongel ini turut menyokong Dolby Atmos, Dolby Vision, penstriman 4K, codec AV1, DTS HD dan turut boleh disambungkan dengan aksesori Bluetooth 5.0.
Dongel ini menggunakan HDMI dan port microUSB untuk kuasa. Harga jualan buat masa ini masih belum didedahkan. Tetapi jika mengikut trend pasaran dongel Android TV, tidak terkejut jika Xiaomi TV Stick 4K akan dijual pada harga sekitar RM300.