Kerajaan India Sedia Melaburkan $10 Bilion Untuk Memasuki Arena Pembuatan Cip Semikonduktor

Diterbitkan pada Dis 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Industri pembuatan semikonduktor global kini dilihat mahu memperluaskan kilang-kilang pembuatan mereka ke luar China khususnya untuk membolehkan mereka memastikan bekalan cip pemprosesan dan semikonduktor yang lain sentiasa boleh dipenuhi khususnya dengan lebih banyak industri pembuatan elektrik dan elektronik yang memerlukan komponen-komponen ini.

Samsung dilihat akan membuka sebuah kilang di Texas, manakala Intel pula dilihat akan melaburkan RM30 bilion di Malaysia untuk membina lebih banyak kilang pembuatan dan penyelidikan cip pemprosesan mereka sendiri. TSMC turut dilihat akan membuka kilang di Amerika Syarikat dan Eropah dan terkini, India mungkin akan menjadi destinasi terbaru syarikat-syarikat ini.

Reuters melaporkan bahawa kerajaan India kini mahu negara tersebut juga terlibat dalam pembinaan semula industri semikonduktor global. Untuk ini, kerajaan tersebut dilihat mahu membelanjakan sekitar $10 bilion (~RM42 bilion) untuk pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat yang mahu memperluaskan penawaran pembangunan fasiliti pembuatan semikonduktor mereka di India.

Ia dilaporkan bahawa syarikat-syarikat seperti Tower Semiconductor dari Israel, Foxconn dari Taiwan dan sebuah konsortium pembuat cip berminat untuk membuka kilang di negara tersebut. Selain daripada pembuat cip luar negara, kerajaan India turut mengatakan bahawa mereka akan membantu 100 syarikat pembuat cip kecil tempatan untuk memperluaskan dan memesatkan pembangunan teknologi mereka dalam masa terdekat ini.

Kerajaan India menjangkakan bahawa dengan pelaburan ini, industri pembuatan cip semikonduktor yang pesat membangun ini boleh mencipta 35 ribu pekerjaan berkemahiran tinggi, 100 ribu pekerjaan tambahan seperti dalam sektor elektrik, elektronik dan pembangunan, dan akan menarik pelaburan bernilai tinggi.

Sumber: Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami