2022 dikatakan adalah tahun di mana telefon pintar dengan skrin boleh-lipat akan dijual pada harga peranti mercu biasa. Mungkin sekitar RM3000 sebagai permulaan? Ini membolehkan lebih ramai orang mula merasai bagaimana perubahan dalam industri telefon pintar serta membuktikan yang teknologi ini sudah semakin stabil.
Samsung sudah ada beberapa generasi peranti seperti ini dalam siri Galaxy Z. Huawei juga ada beberapa dengan model P50 Pocket bakal tiba tidak lama lagi, tetapi jenama lain masih senyap sehinggalah baru-baru ini – Oppo hadir dengan Oppo Find N.

Peranti ini sangat unik kerana rekaan dan rupa bentuknya, harga jualan yang mengancam serta spesifikasi yang mantap. Kami di Amanz berpeluang mencuba peranti ini dan ini adalah apa yang kami rasakan mengenainya.
Spesifikasi
Oppo Find N | |
---|---|
Skrin | Skrin dalam: 7.1-inci LTPO AMOLED, 1792 x 1920 120Hz, HDR10+, Corning Gorilla Glass Victus Skrin kedua: 5.49-Inci AMOLED, 988 x 1972 |
Pemproses | Snapdragon 888 (5nm) |
Cip | 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 8/12 GB Memori Maya 7GB (untuk 12GB) |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50+13+16 Megapixel. f/1.8+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR, 4K 60p |
Kamera Swafoto | Dalam: 32MP Luar: 32MP f/2.4, 1080p 30 |
Bateri | 4500 mAh Pengecasan berwayar 33W Pengecasan nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | 5G, Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari di sisi |
Harga Jualan | Di China; Sekitar RM5100 8/256 GB Sekitar RM5900 12/512 GB |
Skrin
Sekali pandang, Oppo Find N terus memikat mata kami. Saiz yang “pendek’ ini amat masuk akal dan dilihat bersesuaian dengan konsep telefon pintar dengan skrin yang boleh-lipat. Ia lebih ergonomik, selesa dipegang, mudah dikendalikan dan rasa normal dan tidak begitu aneh. Kedua-dua skrin juga adalah panel OLED, di dalam adalah LTPO AMOLED bersaiz 7.1-inci dengan perlindungan kaca UTG Felxion. Ia juga menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz, kecerahan yang baik, warna yang terang dan dalam serta warna hitam yang cukup gelap.

Skrin di luar pula adalah 5.49-inci, masih lagi OLED – tetapi kali ini nisbah 18:9 yang rasa normal dan tidak aneh seperti Z Fold2 atau Z Fold3 yang memanjang. Skrin juga rasa lancar pada kedua-dua luar dan dalam. Ia pantas dan mudah ditatal tanpa rasa sangkut-sangkut, berat atau sistem tergendala berlaku.
Penggunaannya juga rasa lebih baik, dengan saiz yang kecil menonton video juga mudah dan seronok. Resolusi bukanlah tinggi mana, di dalam adalah 1792 x 1920 dan di luar adalah 988 x 1972. Tetapi dalam penggunaan ringkas, ia rasa seakan menggunakan skrin yang cukup berkualiti. Lagipun, peranti seperti ini biasanya tidak akan mempunyai spesifikasi gila gempak seperti peranti mercu biasa. Pasti akan ada kekurangan kerana pengorbanan perlu dilakukan agar boleh kekal fokus kepada konsep boleh lipat.

Paparan dalam yang Oppo panggil Serene Display ini kelihatan ada masa hadapan. Cuma harapnya boleh dapatkan resolusi yang lebih tinggi pada model akan datang.
Rekaan
Perkara paling baik yang Oppo lakukan pada Find N adalah kesan lipatan dan rekaan engsel. Peranti ini hampir tidak kelihatan kesan lipatannya berbanding Z Fold3. Ia hanya nampak apabila dicari dan jika terdedah pada cahaya pada sesetengah sudut. Majoriti penggunaan kesan ini seakan tidak wujud. Ini kerana Samsung memilih rekaan dengan kesan lipatan tajam, manakala Oppo rekaan lipatan yang lebih manja dan lembut memberikan kesan yang imersif serta kemampuan melipat tanpa ada ruang. Engsel juga rasa lebih kukuh dan sedap di tangan. Engsel Oppo ini adalah Flexion Hinge.

Peranti juga direka dengan rekaan kompak membuatkan peranti terasa seakan sebuah Z Fold mini. Di hadapan skrinnya rata dan luas, di dalam lebih lebar dan imersif. Panel belakang dengan modul kamera seakan rekaan hibrid Find X dan Reno. Kemudian entah kenapa, peranti ini terasa lebih premium berbanding dengan Samsung. Mungkin kerana sudah biasa dengan Z Fold2 dan Z Fold3, Find N yang lain ini rasa lebih menarik.

Kedudukan pengimbas cap jari di sisi juga sesuai dengan saiz tangan, yang mana mudah untuk menyahkunci peranti. Rekaan seperti ini adalah apa yang patut semua pengeluar peranti lakukan untuk telefon pintar dengan skrin boleh-lipat.
Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan
Apabila cakap mengenai perisian, sejak tahun lepas dan tahun ini – Samsung One UI adalah antara kegemaran kerana kemaskini pantas, banyak integrasi Google yang baik serta ia stabil dan memuaskan. Walaupun pada kali pertama menggunakannya rasa sedikit aneh. Untuk Oppo Find N, sudah semeastinya Color OS menjadi pilihan.
Pada peranti ini, Color OS 12 digunakan adalah berasaskan Android 11 dan bukannya Andorid 12. Ini tidak terkejut kerana kita tahu yang Android 12 ada banyak pepijat dan Android 11 antara versi Android terbaik dengan kod yang sudah sedia dengan skrin besar dan boleh-lipat. Mungkin kemaskini Android 12 untuk peranti ini semasa 12L sudah stabil?

Secara keseluruhan, ColorOS pada peranti ini seakan menggunakan ColorOS biasa sahaja. Ia menggunakan konsep rekaan antaramuka yang lebih kurang sama dengan susun atur pada sesebuah tablet. Jika sudah biasa dengan ColorOS, peranti ini mudah digunakan dan akan rasa selesa. Kemudian, walaupun ColorOS sudah semakin ke arah Android asli – rekaannya masih ada sedikit elemen yang membuatkan peranti ini rasa seakan tidak mempunyai perisian yang cukup matang.

Tidak sah jika sesebuah peranti dengan skrin boleh-lipat perisiannya tidak mempunyai kemampuan multi-tugasan yang baik. Oppo seperti yang semua maklum, mempunyai mod Flex untuk dua atau tiga aplikasi digunakan serentak. Contohnya dengan kawalan gestur dua aplikasi boleh digunakan secara sebelah menyebelah, picit dengan empat jari untuk aplikasi dengan tetingkap terapung, dan turut ada bar sisi dengan pelbagai alatan memudahkan.
Mod laptop turut ditawarkan, yang mana ia seakan mod Flex pada Samsung One UI untuk Z Fold. Cuma ia terhad kepada aplikasi terpilih, berbanding Samsung yang ada lebih banyak sokongan. Peranti ini juga ada masalah sistem, yang mana sistem akan mengesan peranti sebagai dalam mod potret berbanding mod melintang apabila skrin dibuka. Kalau Z Fold buka dan pusing untuk kandungan, Find N buka dan pusing untuk guna aplikasi.

Ada yang Samsung lebih baik, ada juga iterasi Oppo rasa lebih lancar. Ramai akan rasa Samsung pilihan terbaik kerana sudah bertahun dan ada banyak pengalaman dalam peranti seperti ini. Oppo masih pada generasi pertama, tetapi untyuk apa yang disediakan ia rasa seakan sudah memadai dan cukup untuk mereka yang baru ingin mula menggunakan peranti seperti ini.
Penanda Aras
Snapdragon 888 dan 12GB RAM adalah pasangan terbaik. Tambahan pula dengan ColorOS 12 yang menyokong tambahan 7GB RAM melalui memori maya, prestasi Find N tidak mengecewakan dan berada dalam jangkaan kami. Ujian ringkas pada AnTuTu menerima skor sehingga 786,936, manakala pada Geekbench 5 boleh menerima skor sehingga untuk 866/3097 satu teras/multi teras.

Ini pula markah yang dicatatkan oleh Z Fold3;
Snapdragon 888 – Geekbench 5 (1,022/3,377) dan Antutu 3D (716,658)
Kamera
Dalam tempoh penggunaan yang ringkas, tidak banyak bahagian kamera yang boleh kami uji. Tetapi untuk konfigurasi tri-kamera daripada sensor Sony IMX766 50MP yang sama pada Find X3 Pro, kemudian ditemani dengan dua sensor Samsung 16 dan 13 Megapixel untuk sudut ultra-lebar dan telefoto.

Warna profil Oppo pada peranti mercu biasanya tidak menarik perhatian ramai orang. Jika di antara Samsung dan Apple, kamera Oppo mungkin ketiga. Tetapi ada sesetngah situasi ia akan menjadi antara yang terbaik dan sudah memuaskan. Berikut adalah beberapa sampel untuk sudut ultra lebar, zum, mod malam, potret dan mod auto biasa.
Untuk penggunaan ringkas ini, kameranya masih tidak mampu melawan iPhone 13. Tetapi mungkin boleh lawan Samsung di beberapa bahagian dan juga ada bahagian Pixel 6 juga masih rasa baik. Anda boleh nilai sendiri dengan beberapa sampel di bawah ini;





Kesimpulan
Oppo Find N tidak dinafikan adalah percubaan terbaik Oppo untuk peranti seperti ini. Peranti ini begitu unik sehingga ia kini adalah peranti harian saya sendiri. Benar, banyak perkara yang patut Oppo ubah untuk menjadikan peranti ini lebih baik dari sekarang. Tetapi Samsung pun bukan yang sempurna, dua-dua ada kelebihan tersendiri dan ada kekurangan tersendiri.
Cuma tidak sangka, syarikat seperti Oppo mampu menawarkan spesifikais mantap untuk peranti mereka berbanding Samsung. Perisian yang ada banyak kurang ini mungkin tidak terkejut mana, kerana peranti hanya dijual di China. Banyak halangan penggunaan hanya di Malaysia dan bukan di China.

Harga jualan peranti yang bermula daripada sekitar RM5100 juga sebenarnya tidak mahal mana untuk peranti yang padat dengan teknologi terkini dan penuh inovasi ini. Jika peranti ini dilancarkan di Malaysia, ini adalah peranti yang saya berani suruh anda semua cuba.
Pro
- Rekaan yang padat dan kompak yang selesa dan ergonomik
- Skrin luar yang mudah dikendalikan
- Skrin dalam yang lancar, terang dan rasa sempurna untuk peranti seperti ini
- Harga lebih murah daripada pesaing
Kontra
- Perisian tidak sehebat One UI dalam multi-tugasan
- Kamera masih tidak begitu hebat di antara pesaing
- Tiada sokongan perlindungan IP68
- Tidak dijual di Malaysia dan terhad di China sahaja.