Boeing Mahu Menggunakan Konsep Metaverse Untuk Membina Dan Menguji Rekaan Kapal Terbang Mereka Secara Digital

Diterbitkan pada Dis 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Syarikat pembuat kapal terbang terkemuka Boeing nampaknya bakal memasuki alam metaverse mereka sendiri, yang mana ia akan digunakan untuk menguji rekaan kapal terbang mereka.

Beberapa tahun ini, Boeing dilihat menghadapi masalah yang cukup ketara dengan beberapa kapal terbang buatan mereka, khususnya Boeing 737 MAX dan juga 787 Dreamliner khususnya dari segi rekaan dan juga struktur binaan kapal terbang itu sendiri.

Dibelenggu masalah kapal terbang terbengkalai dan juga wabak COVID-19 yang masih lagi menghantui dunia, Boeing melihat kepada dunia metaverse sebagai satu cara untuk menguji rangka dan binaan kapal terbang mereka secara maya.

Boeing dilaporkan akan melaburkan sebanyak $15 bilion untuk membangunkan satu sistem dimana mereka boleh memasukkan data mengenai binaan-binaan fizikal mereka yang boleh dimuatkan kedalam platform metaverse, dan kemudiannya menggunakan pelbagai parameter untuk menguji ketahanan pelbagai binaan mereka, termasuklah enjin kapal terbang hinggalah ke rangka binaan kapal terbang itu sendiri.

Ini bermakna bahawa Boeing akan perlu mendigitalkan maklumat mengenai semua komponen-komponen mereka, termasuklah maklumat mengenai keperluan penerbangan, dokumentasi mengenai cara kapal-kapal terbang ini berfungsi secara nyata dan sebagainya.

Greg Hyslop, ketua jurutera di Boeing mengatakan bahawa 70 peratus daripada isu dengan binaan Boeing tiba kerana isu rekaan pesawat. Dengan menggunakan teknik digital untuk membina dan menguji binaan mereka, beliau yakin bahawa cara ini boleh mempercepatkan proses pembuatan sebuah kapal terbang daripada konsep ke binaan siap dalam jangka masa lima tahun sahaja.

Walaupun begitu, Boeing perlu berjaga-jaga mengenai langkah ini kerana membangunkan dunia metaverse untuk membantu membina bukanlah penyelesaian kepada masalah Boeing, kerana di penghujungnya, pesawat-pesawat yang dibina masih perlu diuji di bumi nyata sebelum ia selamat digunakan.

Sumber: Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami