Imej Pengolokan Garmin Venu 2 Plus Tertiris Ke Arena Web

Diterbitkan pada Dis 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bercakap mengenai Garmin, ia sememangnya terkenal sebagai pengeluar peranti boleh pakai memfokuskan sukan dan kesihatan yang tahan lasak. Setiap model yang dihasilkan disertakan dengan target masing-masing. Misalnya seperti rangkaian Garmin Venu yang lebih memfokuskan kepada gaya hidup.

Menyentuh sedikit mengenainya, Garmin Venu 2 dan Venu 2S telah diperkenalkan sebelum ini. Kedua-duanya berkongsi sejumlah rekaan dan fungsi yang sama. Bezanya cuma, model Venu 2 memiliki saiz skrin yang lebih besar berbanding Venu 2S. Terkini, muncul desas-desus baru yang mengatakan Garmin dalam perancangan untuk hadir dengan seutas lagi model baharu di bawah siri yang sama.

Mungkin dikenali sebagai Garmin Venu 2 Plus, rekaan jam tangan ini telah tertiris dalam beberapa imej pengolokan yang dikongsi oleh @evleaks di Twitter. Sungguhpun begitu, kewujudan jam tangan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, malah sudah diperkatakan sejak November yang lalu.

Seperti namanya, jam tangan ini sudah semestinya hadir dengan beberapa naik-taraf berbanding model-model terdahulu. Imej menunjukkan Garmin Venu 2 Plus akan menampilkan muka jam berbentuk bulat bersama tiga butang fizikal di sisi. Ini sedikit berbeza dengan model terdahulu yang hanya disertakan dengan dua butang fizikal. Turut kelihatan, model baharu ini turut mengekalkan penggunaan tali berasaskan silikon bersama cangkuk jenis standard.

Selain itu, ia juga akan mempunyai fungsi mikrofon dan pembesar suara terbina untuk kebolehan membuat serta menerima panggilan suara terus daripada jam tangan. Ia juga akan menjalankan sistem operasi tersendiri dan mungkin dijual dengan tanda harga sekitar $400 (~RM1,688). Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut berkaitan tarikh pelancarannya yang ditemui.

Sumber : Twitter

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami