Xiaomi MIX Fold 2 Akan Menggunakan Skrin Bersaiz 8.1-Inci Dan Kaca UTG Samsung

Diterbitkan pada Dis 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi MIX Fold merupakan peranti skrin boleh-lipat pertama keluaran Xiaomi dengan sistem lensa kamera cecair yang juga julung kalinya digunakan pada sebuah telefon pintar. Ia juga ditawarkan pada harga jualan yang mampu milik berbanding pesaing yang bermula pada sekitar RM6,300.

Terbaharu, penggantinya kini dilaporkan telah muncul dalam beberapa pangkalan data IMEI dengan nombor model 22061218C. Biarpun belum ada kepastian, namun menurut spekulasi awal ia mungkin dikenali sebagai Xiaomi MIX Fold 2. Berdasarkan perkiraan awal, peranti ini besar kemungkinan tiba pada separuh kedua tahun 2022 bersama beberapa spesifikasi yang dinaik-taraf.

Melaluinya, ia akan menggunakan skrin berukuran 8.1-inci bersama lapisan kaca UTG seperti yang digunakan pada Galaxy Z Flip sebelum ini. Selain itu, Xiaomi MIX Fold 2 juga dijangka mempunyai skrin dengan sokongan kadar segar semula yang tinggi berbanding pendahulunya. Seterusnya, ia juga dikatakan hadir dengan teknologi kamera di bawah skrin dan sokongan engsel turut akan direka semula untuk pengalaman penggunaan peranti yang lebih baik.

Buat masa ini, tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi pada peranti yang ditemui. Namun terdapat khabar angin mengatakan ia mungkin dilengkapi dengan Snapdragon 8 Gen1. Kita juga boleh menjangkakan lebih banyak maklumat mengenainya akan kedengaran dalam masa terdekat ini.

Sumber : IT Home

komen


© Amanz / 2022 Kami