Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai kualiti dan pengalaman audio yang terbaik, mereka yang telah melaburkan wang yang banyak dalam hobi tersebut akan memberitahu anda bahawa setiap komponen dan aksesori yang digunakan adalah penting untuk mendapatkan kualiti audio dan pengalaman mendengar yang terbaik.

Terkini, seorang pengguna daripada laman forum Audiophilestyle dilihat sedang membangunkan sebuah komponen SSD yang dilihat memfokuskan kepada kualiti audio lebih daripada perkara-perkara lain. Misalnya, SSD ini dilihat hadir dengan NAND 3D TLC bersaiz 1TB, tetapi hanya 333GB daripada storan tersebut boleh digunakan kerana ia digunakan dalam mod pSLC ataupun pseudo-SLC.

Perkara ini dilakukan kerana menurut pembangun SSD ini, kualiti audio dalam mod ini berbanding dalam mod TLC biasa, kualiti audio dalam mod tersebut dikatakan hadir dengan butiran yang lebih baik dan mendalam. Ia juga dilihat menggunakan pengawal SSD keluaran Realtek, yang lebih dikenali untuk penawaran cip audio mereka.

Hadir dalam rekaan M.2 2280, ia juga menggunakan komponen pengayun elektrik Crystek CCHD-957 dan kapasitor Audionote Kaisei 220uf yang dikatakan memberi penawaran pengaliran elektrik yang paling bersih untuk menawarkan kualiti audio terbaik.

Bukan itu sahaja, SSD ini juga hadir dengan suis input kuasa 5V DC yang membolehkan SSD ini digerakkan menggunakan bekalan kuasa luar dan bukan dari papan induk sekiranya diperlukan untuk mereka yang benar-benar serius mengenai isu bekalan kuasa yang “tidak bersih” mengotori mutu audio.

SSD ini dibina secara persendirian, dan buat masa ini masih lagi berada dalam fasa ujian. Ia tidak diketahui lagi sekiranya SSD ini akan dikeluarkan secara besar-besaran kelak, tetapi ia pastinya sebuah projek yang cukup menarik khususnya bagi golongan audiophile yang mahu cuba untuk mendapatkan kualiti pendengaran yang terbaik boleh dibeli dengan wang.

Sumber: Audiophilestyle

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd