Samsung Galaxy S22 Mungkin Hadir Dengan Fungsi Kamera 108MP Baharu Untuk Butiran Tambahan

Diterbitkan pada Dis 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung Galaxy S22 adalah antara siri peranti mercu kegemaran ramai bagi yang tidak berminat dengan siri Galaxy Note. Tetapi bermula tahun ini, tiada lagi siri Note akan diperkenalkan dan ada juga menyatakan model paling mahal nanti akan digelar sebagai S22 Ultra atau mungkin juga S22 Note untuk sokongan S-Pen sama seperti S21 Ultra.

Tetapi masih tidak pasti, jika S-Pen S22 boleh digunakan bersama Z Fold3 atau sebaliknya. Siri peranti mercu Galaxy S turut terkenal dengan kemampuan kamera mereka. Sejak 2020 lagi Samsung telah menggunakan sensor 108MP dan diteruskan pada S21 untuk menangkap butiran tambahan dengan kurangnya kesan hingar.

Samsung juga menggunakan teknik Pixel Binning 12MP, selain turut menawarkan mod 108MP. Terkini, sumber daripada Korea Selatan mendakwa yang Galaxy S22 juga akan mempunyai mod fotografi baharu yang digelar Detail Enhancer. Mod ini dikatakan boleh menangkap lebih butiran dan akan memastikan hasil imej adalah lebih tajam dan jitu.

Sumber turut menyatakan yang ciri ini mungkin turut ditujukan untuk mod makro yang lebih berkualiti. Ini agak aneh, kerana mod makro biasanya daripada sensor tersendiri atau sensor sudut ultra lebar bukannya sensor utama. Kecuali jika dalam One UI pada S22 nanti, Samsung mungkin akan menggunakan gabungan sensor utama dan sudut ultra lebar untuk fungsi ini.

Samsung dijangka akan melancarkan siri S22 seawal awal tahun 2022. Sama-sama kita nantikan kejutan daripada mereka untuk melihat apa yang istimewa pada peranti mercu baharu nanti.

komen


© Amanz / 2022 Kami