Ini Adalah Tiga Teknologi Baru Yang Digunakan Pada Siri Realme GT 2

Diterbitkan pada Dis 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Acara khas Realme hari ini tidak memperlihatkan pengenalan produk baharu seperti yang digembar-gembur baru-baru ini. Sebaliknya, mereka mengumumkan tiga teknologi baharu yang akan disertakan pada siri Realme GT 2 kelak. Antaranya seperti panel belakang peranti dengan kemasan bio- polimer, sensor ultra-lebar dengan darjah pandang mencapai 150 darjah dan penambahbaikan dari segi rangkaian.

Bercakap lebih lanjut mengenai, siri Realme GT 2 akan didatangkan dengan panel belakang bio- polimer menerusi penggunaan bahan mesra alam yang mempunyai tekstur seakan kertas. Realme mendakwa mereka adalah yang pertama di dunia menggunakan pendekatan ini pada peranti pintar keluarannya. Dalam pada itu, Realme juga bakal mengambil pendekatan yang ditawarkan oleh beberapa pengeluar seperti Apple, Xiaomi dan Samsung dengan menyertakan kotak pembungkusan yang diperbuat daripada bahan mesra alam. Tetapi persoalannya, masih belum dapat dipastikan sama ada mereka akan mengekalkan kepala pengecas di dalam kotak atau sebaliknya.

Seterusnya, siri Realme GT2 juga dibekalkan dengan lensa ultra-lebar yang mampu menawarkan darjah pandang mencapai 150 darjah. Menariknya di sini, ia menawarkan sudut pandangan 278% lebih lebar berbanding sensor utama yang sekadar menawarkan sudut pandang sehingga 84 darjah. Pada masa sama, Realme turut menyertakan mod Fish Eye secara terbina – yang mana ini merupakan ciri yang cukup terkenal dalam kalangan pengguna kamera aksi beberapa tahun lalu.

Seperti yang diketahui, peranti kelas pertengahan kebiasaannya sering mengalami masalah rangkaian. Lebih-lebih lagi peranti kelas pertengahan premium yang dijual sekitar harga bawah RM2,000. Namun, Realme cuba menyelesaikan masalah ini dengan menyertakan beberapa penambahbaikan dari aspek rangkaian. Ini termasuklah – sokongan UWB, Wi-FI Enhancer dan NFC serba baru.

Menyentuh lebih lanjut mengenainya, sokongan UWB pada Realme GT2 menggunakan teknologi Hyper Smart – ia mengandungi 12 antena yang mengelilingi peranti yang mana akan bertukar-tukar antara antena untuk sambungan rangkaian lebih baik. Seterusnya, Wi-Fi Enhancer pula bagi memastikan sambungan yang lebih stabil. Akhir sekali, sokongan NFC serba baharu pada Realme GT2 menggunakan modul NFC dengan dua antena selular yang mempunyai ruang pengesanan sehingga 500% dan jarak pengesanan pula meningkat sebanyak 20%. Ini bagi membolehkan penggunaan menjadi lebih mudah.

Menurut Realme, siri Realme GT 2 bakal menjadi produk utama berspesifikasi tinggi dalam sejarah mereka. Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian mengenai tarikh pelancaran khusus peranti yang diketahui.

komen


© Amanz / 2022 Kami