Xiaomi 12 Akan Dilancarkan Pada 28 Disember Ini
Amy Maizuraa
Xiaomi 12 bakal menjadi model kemaskini baharu untuk rangkaian peranti pintar berspesifikasi mercu oleh Xiaomi. Peranti ini juga telah disahkan hadir dengan janaan cip pemprosesan terkini daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1.

Terkini, pihak Xiaomi akhirnya berkongsi maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti menerusi satu poster di laman Weibo. Ia menunjukkan peranti ini akan diperkenalkan secara rasmi pada minggu hadapan – iaitu 28 Disember 2021. Tapi sayang, poster berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai peranti – ini termasuklah rekaan dan spesifikasi utama lain padanya.

Sungguhpun begitu, Xiaomi dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga model berbeza yang terdiri dengan Xiaomi 12X, Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro. Pada masa sama, peranti-peranti ini dikhabarkan turut menyokong MIUI 13. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya kelak untuk perkembangan lebih lanjut mengenai peranti ini.
Sumber : Weibo