Telegram Menguji Ciri Menyembunyikan Mesej Yang Ada Beberan Filem

Diterbitkan pada Dis 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat banyak cara untuk mengelak beberan seperti menghalang kata kunci berkaitan di Twitter, kurangkan aktif di Internet, serta elak bersemuka dengan mereka yang telah tonton. Dua tahun lepas, seorang rakyat Malaysia cipta pemalam khas untuk halang beberan Avengers: Endgame. Tapi bagaimana untuk elak beberan daripada aplikasi permesejan yang kita guna setiap hari?

Telegram kini dilihat sedang menguji satu fungsi khusus untuk ini. Sebelum menghantar sesuatu mesej, pengguna nanti dilihat boleh memilih teks dan di barisan pilihan Bold, Italic, dan lain-lain akan ada pilihan khas Spoiler. Selepas mesej dihantar, akan ada animasi yang menutup teks yang ada beberan tadi. Animasi pada mesej beberan ini dilihat mimik Invisible Ink pada iMessage.

Ini adalah satu fungsi yang amat menarik dan sangat wajib diimplementasikan dalam semua aplikasi permesejan. Melalui ini, beberan boleh disampaikan kepada mereka yang sudah tonton jika ingin kongsi kegembiraan atau berbincang dalam perbualan berkumpulan.

Buat masa ini ia masih dalam fasa ujian dan tidak pasti bila fungsi ini dapat digunakan oleh pengguna versi beta dan juga bila ia akan ditawarkan kepada umum. Apa kata anda mengenai fungsi ini, berguna atau tidak?

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami