Siri LG UltraGear adalah produk LG yang menyasarkan kepada pemain permainan video. Setakat ini, LG UltraGear hanya menawarkan paparan dengan sokongan kadar segar semula tinggi, piawaian warna profesional, serta fokus kepada kadar sela masa rendah.
Buat pertama kalinya, tahun hadapan LG akan hadir dengan komputer riba gaming pertama di bawah siri UltraGear ini. Produk pertama yang mereka umumkan adalah LG UltraGear 17G90Q.
Seperti pada nama, nombor 17 membawa maksud saiz skrin yang digunakan. Ia adalah panel IPS bersaiz 17.3-inci dengan resolusi 1920 x 1080 FHD, menyokong warna sRGB 99% dan juga kadar segar semula 300Hz. Menariknya, komputer riba ini masih menggunakan skrin dengan nisbah 16:9. Skrin juga menyokong kadar sela masa mencapai 1ms.
Untuk dalaman ia dijana dengan cip Intel Tiger Lake siri H (belum didedahkan lagi), memori 16GB atau 32GB RAM DDR4 dengan dua slot tambahan, pilihan SSD sehingga 1TB serta dua lagi slot M.2 tambahan. Untuk grafik pula, ia menggunakan NVIDIA GeForce RTX 3080 Max-Q. Ia turut mempunyai kamera web FHD terbina dengan dua mikrofon yang turut menyokong imbasan wajah Windows Hello. Tidak cukup dengan wajah, LG turut menawarkan butang kuasa dengan pengimbas cap jari.
Saiz bateri LG UltraGear 17G90Q ini adalah 93Wh dengan pengecas tersendiri. Pembesar suara adalah empat pemacu 2.0W dengan DTS X Ultra, kemudian sudah semestinya papan kekunci adalah RGB dan LG turut menggunakan sistem penyejukan tersendiri. Perisian khas untuk pengguna kawal turut sedia terpasang, iaitu UltraGear Studio.
Komputer riba ini menggunakan tema warna ungu kelabu dengan rekaan minimalis sambil mengekalkan sedikit elemen ranggi. Port sambungan yang disediakan adalah 2x USB-C 4.0 (1x untuk PD-out, 1x untuk Thunderbolt 4), 2x USB-C 3.2, HP-Out, HDMI, RJ45 dan juga slot kad microSD/UFS.
Berat komputer riba juga hanyalah 2.64kg. Harga jualan dan butiran lanjut hanya akan didedahkan semasa acara CES 2022 nanti. LG UltraGear 17G90Q ini juga akan dijual di Amerika Syarikat dan Korea Selatan sahaja setakat yang diumumkan LG.