Tipulah kalau anda tidak menggunakan Google untuk mencari sesuatu di web. Berapa peratus sahaja yang menggunakan enjin carian lain seperti Bing, Yahoo, atau DuckDuckGo? Biasanya keputusan yang ingin kita dapatkan mudah ditemui di Google, tetapi perkhidmatan lain mungkin keputusan itu akan muncul cuma bukan yang terbaik untuk pengguna.
DuckDuckGo juga seperti Google. Ada pelayar web, ada klien emel, dan ada juga enjin carian. Tetapi mereka lebih fokus kepada privasi dan sekuriti pengguna. Mereka dakwa merekalah antara yang terbaik dan tiada data pengguna dijejak atau diambil secara senyap.
Terkini, mereka telah mengumumkan yang mereka juga akan hadir dengan pelayar web untuk desktop. Melengkapkan ekosistem DuckDuckGo pada peranti mudah alih dan kini untuk cuba memikat hati pengguna desktop. Sama seperti pelayar web mereka untuk iOS dan Android, semua ciri privasi berfungsi secara lalai, ia bukannya pelayar web privasi tetapi adalah pelayar web yang memahami pengguna dan menghormati sekuriti dan privasi pengguna. Mereka juga tidak akan tawarkan sekuriti yang pengguna boleh kawal tahap rendah atau kuat, amaran palsu dan lain-lain lagi.
Enjin render pelayar web juga tidak akan menggunakan asas Chromium seperti Edge, Vivaldi atau Brave – sebaliknya menggunakan yang lalai pada sistem operasi. Jika pada Windows ia adalah WebView2 dan pada macOS ia adalah Safari WebKit. Menurut mereka penggunaan sistem ini adalah jauh lebih pantas daripada Chromium.
Buat masa ini masih tiada garis masa bila pelayar web ini akan diperkenalkan, tetapi ia mungkin akan tiba pada 2022 akan datang.