Carian
Pixel Watch Mungkin Dijana Cip Exynos Dan Menggunakan Google Assistant Generasi Baharu
December 22, 2021 Fahim Zahar

Sudah banyak kali kita dengar yang Google akan hadir dengan jam tangan pintar tersendiri, mungkin digelar sebagai Pixel Watch. Kemudian Google telah mengambil-alih Fitbit, tetapi itu pun masih tiada lagi pelancaran jam Google sehinggalah Wear OS 3.0 dilancarkan dan Samsung menjadi pertama menggunakannya. Saat ini, lebih banyak bukti yang kehadiran Pixel Watch adalah semakin hampir.

Pihak 9to5Google telah menemui beberapa informasi baharu dalam kod aplikasi Google untuk Wear OS. Menurut mereka, peranti boleh pakai Google ini akan hadir dengan Google Assistant generasi baharu mirip yang ada pada Pixel 6. Pembantu digital serba baharu ini boleh melakukan banyak tugasan secara luar talian dan adalah lebih pintar berbanding generasi sebelum.

Sumber turut menyatakan yang Google masih dalam dilema untuk memberi nama pada jam mereka. Tetapi dalam kod ini, ia adalah Pixel_Experience_Watch yang memberi petanda Google akan kekal dengan nama Pixel. Dalam kod ini, turut kelihatan yang Google juga mungkin tidak akan menggunakan cip pemprosesan Snapdragon Wear – tetapi mungkin daripada Samsung iaitu Exynos.

Masih tidak pasti jika Pixel Watch ini akan dijana dengan Exynos W920 yang sama pada GalaxyWatch4 atau ia adalah cip berasaskan Exynos dengan nama Tensor. Sebelum ini, beberapa muka jam telah pun ditemui dalam pelagak Wear OS untuk pembangun dan di antaranya adalah muka jam dengan integrasi Fitbit. Sama-sama kita nantikan lebih banyak informasi mengenai Pixel Watch.

Komen