Cari @ Amanz

Adakah anda seorang pengguna monitor? Kalau ya, apakah tetapan pilihan anda – satu monitor? dua? Susunan pula bagaimana? Kebiasaannya, monitor hadir dalam format melintang, menegak ataupun jenis melengkung – tetapi LG baru-baru ini telah hadir dengan satu monitor dengan format lain daripada lain.

LG DualUp adalah monitor berbentuk hampir segi empat sama. Ia menggunakan nisbah paparan 16:18, yang mana menurut LG ia adalah seakan dua monitor 21.5-inci atas dan bawah.

Saiz panel sebenar adalah 27.6-inci panel Nano IPS dengan resolusi 2560 x 2880, menyokong kecerahan 300 nits dan paparan dengan gamut warna DCI-P3 98%, HDR10. Monitor ini hadir dengan kaki LG Ergo generasi kedua.

Untuk port sambungan, LG menawarkan 2x HDMI, 1x Display Port, 2x USB-C (1x paparan + Power Delivery, 1x kuasa 96W + data ) dan hab USB. Ia turut hadir dengan pembesar suara terbina daripada 2x pemacu audio 7W yang ditala oleh MAXXAUDIO.

Menurut LG, LG DualUp Monitor 28MQ780 ini turut memberi lebih keselesaan kepada pengguna kerana kurangnya pergerakan kepala ke kiri dan ke kanan dan boleh mengelak masalah sakit tengkuk.

Selain itu, LG juga mengumumkan monitor khusus untuk pengguna profesional baharu di bawah siri LG UltraFine Display. Ia LG UltraFine Display 32UQ85R adalah monitor dengan panel Nano IPS juga, hadir dengan saiz 32-inci beresolusi 4K UHD 3840 x 2160 bernisbah 16:9, gamut warna DCI-P3 98%, Display HDR400, kecerahan 400 nits, menyokong warna hitam yang gelap dan sudut pandangan yang lebih baik. Monitor ini turut menyokong AMD FreeSync untuk paparan dengan sela masa rendah.

Untuk memastikan warna paparan sentiasa tepat dan menepati citarasa pengguna profesional, LG turut menyertakan sensor penentukuran-kendiri automatik yang boleh dicabut. LG juga hadir dengan perisian yang membolehkan pengguna mengawal masa penentukuran bermula. Untuk audio, ia hadir dengan pembesar suara stereo MAXXAUDIO yang menggunakan 2x pemacu audio 5W.

Buat masa ini LG masih belum berkongsi harga jualan dan pasaran manakah ia akan dijual. Maklumat lanjut mengenainya akan didedahkan ketika acara CES 2022 nanti, sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd