Cari @ Amanz

Dengan pengenalan siri cip pemprosesan Intel Alder Lake, teknologi penghantaran data PCIe 5.0 akhirnya hadir secara rasmi, dan ia memperlihatkan kemampuan penghantaran dan pembacaan data yang jauh lebih pantas berbanding PCIe 4.0 yang boleh dimanfaatkan storan SSD dan juga kad grafik di masa akan datang.

Terkini, ADATA, jenama pembuat memori dan storan yang terkemuka telah mengacahkan rekaan dan juga kemampuan storan SSD NVMe PCIe 5.0 mereka. Syarikat tersebut dilihat akan melancarkan bukan sahaja satu, tetapi dua model SSD dengan teknologi tersebut, termasuklah ADATA Project Nighthawk PCIe 5.0 dan ADATA Project Blackbird PCIe 5.0.

Kedua-dua storan SSD ini akan diperlihatkan secara rasmi di acara CES 2022 kelak, tetapi pengenalan awal mengenai kedua-dua SSD ini ialah ia hadir dengan kadar pembacaan data 14GB/s. Dari segi penulisan data pula, SSD Project Nighthawk hadir dengan kadar penulisan data 12GB/s, manakala SSD Project BLackbird hadir dengan kadar penulisan data sepantas 10GB/s.

Apa yang membezakan kedua-dua ini ialah komponen pengawal SSD yang digunakan. Project Nighthawk dilihat menggunakan Silicon Motion SM2508, manakala Project Blackbird menggunakan InnoGrit IG5666 yang mana komponen-komponen ini masih mampu memberikan kedua-dua SSD tersebut kadar pembacaan dan penulisan data yang sangat pantas.

Lebih menarik lagi, kedua-dua SSD Project Nighthawk dan Project Blackbird ini juga akan ditawarkan dalam kapasiti yang sangat besar, dimana pilihan storan terbesarnya ialah sebanyak 8TB.

ADATA akan memperlihatkan butiran lebih lanjut mengenai kedua-dua SSD ini di acara CES 2022 tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd