Cari @ Amanz

Siri Realme GT 2 disahkan bakal tiba pada 4 Januari hadapan dan terdapat sekurang-kurangnya dua buah model yang akan diumumkan – iaitu Realme GT 2 dan Realme GT 2 Pro. Tetapi sayangnya, Realme tidak pula mendedahkan sebarang informasi mengenai rekaan pada peranti pada ketika itu. Sehinggalah kini, ia tertiris dalam beberapa imej tular yang tersebar di arena web dan kemudiannyavdisahkan sendiri oleh pihak Realme menerusi video promosi rasmi.

Masih tidak jelas, sama ada ia adalah Realme GT 2 atau Realme GT 2 Pro. Tetapi, imej menunjukkan peranti akan dihiasi kemasan serba putih bersama panel belakang yang diperbuat daripada bahan bio-polimer – yang mana berasal daripada bahan berasaskan kertas. Di samping itu, susunan kamera utama pula memperlihatkan elemen yang sama seperti Realme GT Neo2 sebelum ini. Melaluinya, sistem tri-kamera menjadi pilihan Realme dengan sensor utama 50MP. Turut kelihatan, terdapatnya logo Realme bersama tanda tangan Naoto Fukasawa bersebelahan modul kamera.

Dalam pada itu, spesifikasi untuk kedua-dua peranti turut dikatakan telah tertiris. Di mana, Realme GT 2 akan dibekalkan skrin AMOLED sebesar 6.62-inci, dijana cip Snapdragon 888, kamera dengan tetapan 50MP + 8MP + 2MP, kamera swafoto 16MP dan bateri 4,880mAh. Sementara itu, Realme GT 2 Pro pula mungkin menggunakan skrin 6.7-inci AMOLED beresolusi 2K, dijana cip Snapdragon 8 Gen 1, bateri 5,000mAh dan kamera belakang 50MP. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya kelak.

Sumber : Weibo

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd