Jam tangan pintar di pasaran masih tidak mempunyai ciri pengesanan tekanan darah yang tepat. Tetapu Huawei Watch D yang dilancarkan hari ini ialah yang pertama mampu mengesan tekanan darah dengan tepat da juga hadir dengan ciri ECG yang boleh menyelamatkan nyawa.

Huawei Watch D mempunyai rekabentuk skrin empat segi yang berbeza sama sekali dengan jam tangan pintar Huawei yang lain. Skrin sebesar 1.64″ OLED mempunyai kepadatan pixel 326 PPI. Tiada maklumat mengenai spesifikasi cip, memori dan storan dikongsi menerusi laman rasmi. Yang dikongsi ialah pada bahagian tali terdapat satu lapisan pengikat dengan pam mini. Lapisan inilah yang berfungsi sebagai pengesan tekanan darah seperti pengikat lengan yang digunakan untuk mengesan tekanan darah di klinik.

Selain pengesan tekanan darah sensor ECG dan nadi TrueSeen 5.0 turut disertakan untuk mereka yang ingin benar-benar melihat tahap kesihatan kardiovaskular peribadi. Menurut Huawei, Watch D mempunyai ketahanan bateri sehingga 7 hari dengan waktu pengecasan semula dalam masa 2.5 jam. Sistem operasi yang digunakan pula ialah HarmonyOS bagi memastikan keserasian dengan ekosistem Huawei yang lain.

Jam tangan pintar turut boleh mengesan 70 aktiviti sukan, menjejak pola tidur pemakai dan digunakan untuk berenang kerana melepasi piawaian IP68. Sensor standard seperti tekanan udara, GPS dan girometer juga disertakan. Di China Huawei Watch D dijual pada harga RMB 2988 (~RM1970) seutas dalam warna hitam.
