Peranti dengan skrin boleh lipat dilihat semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna masa kini. Rentetan daripada itu, banyak pengeluar peranti mula merancang untuk menghasilkan peranti dengan skrin boleh-lipat sendiri. Honor juga tidak terkecuali apabila dilihat sedia berkongsi secara terbuka mengenai kewujudan peranti yang dimaksudkan.
Melaluinya, Honor Magic V akan diperkenalkan tetapi tarikh pelancaran rasminya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini. Bagaimanapun, video promosi rasminya kini telah mula diperlihatkan sekaligus memberi bayangan lebih dekat mengenai rekaan dan bagaimana ianya akan berfungsi. Video tersebut memperlihatkan Honor Magic V menggunakan pendekatan seperti mana yang terdapat pada Samsung Galaxy Z Fold sebelum ini.
Antara tumpuan utama peranti terletak pada skrin bersaiz besar – di mana, ia mampu menawarkan pengalaman penggunaan seakan sebuah tablet apabila skrin dibuka. Menurut spekulasi awal, ia mungkin menawarkan skrin utama sebesar 8.03-inci. Seterusnya, ia juga akan mempunyai skrin sekunder yang melengkung dan berlubang pada bahagian tengah untuk kamera swafoto. Turut kelihatan, bonggol kamera sedikit timbul keluar.
Terdahulu, ketua pegawai eksekutif Honor, George Zhao ada mengatakan Honor Magic V akan dikemaskan dengan rekaan yang menarik. Peranti ini juga dijangka dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen1 dan besar kemungkinan dikeluarkan secara rasmi pada Januari 2022.
Sumber : Weibo