Cari @ Amanz

NVIDIA dijangka akan melancarkan kad grafik untuk kelas komputer riba yang berkuasa di acara CES 2022 kelak. Ini termasuklah model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dan juga RTX 3070 Ti, yang mana kedua-duanya dijangka akan mampu menggerakkan grafik permainan pada resolusi setinggi 4K dengan kadar segar semula dan tetapan tinggi.

Butiran khusus mengenai kedua-dua kad grafik ini masih belum diketahui lagi, tetapi tirisan terbaru daripada VideoCardz menyatakan bahawa GeForce RTX 3080 Ti untuk komputer riba ini akan hadir dengan 16GB memori GDDR6 dengan kelajuan 16Gbps, sedikit lebih laju berbanding dengan memori yang digunakan dalam kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 untuk komputer riba.

Mereka juga mengatakan bahawa ia tidak mengejutkan sekiranya kad grafik tersebut akan menggunakan jumlah kuasa yang lebih tinggi berbanding dengan model sebelum ini. Sekiranya RTX 3080 hadir dengan jumlah TDP setinggi 150W, GeForce RTX 3080 Ti dikatakan boleh hadir dengan jumlah penggunaan kuasa setinggi 175W.

Dalam pada itu, GeForce RTX 3070 Ti pula akan diperlihatkan dengan 8GB memori GDDR6 dan penggunaan kuasa 150W. Ia dijangka bahawa kad-kad grafik ini akan diperlihatkan dalam beberapa komputer riba gaming kelas premium yang juga akan diperkenalkan sewaktu acara CES 2022 kelak.

Sumber: VideoCardz

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd