Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan waktu menanti untuk dos penggalak vaksin Covid-19 dipendekkan ke 90 hari berbanding 180 hari sebelum ini. Keputusan diambil oleh KKM selepas mengambil kiri data terkini dari UK, Kanada dan Australia serta risiko penyebaran varian Omicron di Malaysia. Bagi penerima vaksin Janssen pula, suntikan penggalak akan diberikan selepas 60 hari dos pertama diterima. Kerajaan akan mula memberikan dos penggalak pada bulan Januari atau Februari kelak.

Vaksin penggalak utama yang akan diberikan ialah Comirnaty yang dikeluarkan oleh Pfizer. Bagi mereka yang mempunyai alahan dengan Comirnaty, suntikan dos penggalak Moderna, AstraZeneca, Sinopharm, Cansino Bio dan Sinovac akan turut ditawarkan. Suntikan penggalak adalah perlu untuk mengekalkan status telah menerima vaksinasi penuh dalam aplikasi MySejahtera selepas ini.
Selain itu kerajaan tidak menggalakkan rakyat Malaysia dari melawat 18 negara yang kini dimasukkan ke dalam senarai negara-negara berisiko tinggi varian Omicron. Senarai negara tersebut adalah seperti di bawah.
- Afrika Selatan
- Amerika Syarikat
- Arab Saudi
- Australia
- Botswana
- Denmark
- Eswatini
- India
- Kanada
- Lesotho
- Malawi
- Mozambique
- Namibia
- Nigeria
- Norway
- Perancis
- United Kingdom
- Zimbabwe
Sumber @KKMPutrajaya